Mencari titik kemanusiaan di jalan raya - Utusan Malaysia

Mencari titik kemanusiaan di jalan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TRAGEDI yang meragut nyawa seorang pemandu lori di Kilometer 372 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Sabtu lepas membuka mata banyak pihak. Hal ini bukan hanya disebabkan kejadian itu kelihatan ngeri tetapi turut melibatkan soal-soal kemanusiaan terutama di jalan raya.

Menyedihkan kerana peristiwa itu sempat dirakam oleh orang ramai termasuk gambar pemandu lori yang sedang bertarung nyawa kerana pakaiannya terbakar.

Kemudian peristiwa itu tular menjadi tontonan ramai sehingga isteri mangsa meminta agar penularan gambar itu dihentikan.

Berdasarkan apa yang penulis baca menerusi komen Facebook, rata-rata yang mengkritik adalah sebahagian daripada kita yang tidak begitu peka dengan perasaan orang lain. Ramai mengetepikan soal-soal kemanusiaan kerana tidak berusaha membantu mangsa yang sedang bertarung dengan nyawa.

Kedua, keluarga yang menerima nasib malang berasa sangat bersedih dan kesal dengan penularan video berkenaan sebagai habuan tontonan orang ramai. Antaranya menulis, jika berlaku ke atas keluarga kita sendiri, bagaimana perasaan kita?

Inilah antara senario yang dapat dilihat di jalan dan lebuh raya di negara kita.

Walaupun tidak semua berkeada­an demikian tetapi daripada apa yang berlaku dalam kes di Slim River ini, ia sudah cukup memberi petunjuk bahawa nilai-nilai kemanusiaan semakin menipis dalam kalangan pengguna jalan raya. Semuanya berpunca daripada, nak cepat sampai ke destinasi sehingga tidak boleh menangguh sedikit waktu pun untuk memerhati keada­an sekeliling.

Oleh hal demikian, apa yang sering dapat kita lihat di jalan raya ialah perkara-perkara berikut. Pertama, ada yang me­nyumpah apabila berlaku kesesakan. Kedua, ramai yang memecut laju selepas kesesakan berakhir. Ketiga, ada yang tidak sabar ketika lampu isyarat berwarna merah. Keempat, ada yang menjerit-jerit marah di tepi jalan apabila kenderaannya bergesel dengan kenderaan lain. Dan kelima, sebagai kesimpulannya, ramai yang membelakangkan undang-undang sehingga membawa padah kepada diri dan orang lain.

Dalam kes-kes kemalangan jalan raya, kemanusiaan boleh dipancarkan menerusi bantuan yang dihulurkan untuk mang­sa. Sebelum pihak berwajib tiba, tidak salah menghulurkan bantuan jika berkemampuan dan tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.

Malangnya, ada yang hanya memperlahankan kenderaan apabila tiba di tempat kemalangan tetapi tidak berhenti walaupun ada peluang membantu. Dalam ramai-ramai pengguna jalan raya, tidak mustahil ada yang mempunyai kebolehan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan.

Jika tidak pun, ada perkara-perkara tertentu yang boleh dilakukan seperti menghubungi ambulans, membantu me­ng­awal lalu lintas dan berusaha mencari orang yang pandai dalam hal-hal membabitkan kecemasan.

Oleh sebab negara kita sangat mewah dengan kenderaan, maka pelbagai insiden dapat dilihat di jalan raya mahupun di lebuh raya. Kita mesti memahami bahawa di sinilah juga tempat untuk menilai kemanusiaan kita sebagai seorang insan. Sesuatu yang berlaku itu boleh mengukur sejauh mana kemanusiaan kita.

Di jalan raya, walaupun kita tidak kenal orang lain tetapi orang akan kenal kita menerusi kemanusiaan yang kita tunjukkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN