Mekanisme levi pelbagai peringkat gaji pekerja asing dilaksana Januari 2020 - Utusan Malaysia

Mekanisme levi pelbagai peringkat gaji pekerja asing dilaksana Januari 2020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Feb. – Perlaksanaan mekanisme levi pelbagai peringkat bagi penggajian pekerja asing meliputi semua sektor bakal dilaksanakan bermula Januari 2020.

Perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia yang bermesyuarat hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelaksanaan tersebut akan mengambil kira aspek integrasi data, kesediaan pihak kerajaan dan majikan sebelum ia dikuatkuasakan.

Walau bagaimanapun katanya, bagi sektor perkilangan, nisbah kebergantungan pekerja asing bagi mekanisme levi pelbagai peringkat adalah hanya sehingga 75 peratus.

“Dalam perkara ini, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai keperluan majikan atau syarikat di sektor perkilangan yang menggajikan pekerja asing melebihi nisbah yang dibenarkan berdasarkan kes.

“Ini bagi memastikan operasi syarikat berkenaan tidak terjejas khususnya bagi eksport barangan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-2, Bil. 1/2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu turut bersetuju supaya jawatan tukang masak, pembantu dapur dan pelayan restoran dibenarkan untuk digajikan di sub sektor restoran.

Berhubung operasi penguatkuasaan, Muhyiddin memberitahu, sejak 1 Januari hingga 20 Februari lalu, Jabatan Imigresen menahan 148 majikan dan 7,747 pendatang asing tanpa izin melalui 2,182 operasi yang dijalankan.

“Sepanjang tahun lalu, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan 398 pendakwaan membabitkan 316 majikan.

“Selain itu, sebanyak 432 kes membabitkan 316 majikan dikenakan kompaun, selain JTKSM turut mengeluarkan 4,677 notis pematuhan kepada majikan yang gagal mematuhi Akta Kerja 1955,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN