KUALA LUMPUR 8 Feb. – Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menyokong penuh usaha kerajaan memerangi rasuah kerana gejala tidak sihat ini jika dibiarkan boleh merosakkan negara dan bangsa.
Pengerusinya, Halim Ishak berkata, satu jalan penyelesaian dan tindakan yang lebih konkrit untuk menanggani gejala rasuah sehingga ke peringkat akar umbi perlu diambil menerusi pembentangan Pelan Anti-Rasuah Nasional 2019–2023 oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, baru-baru ini.
Ujarnya, Malaysia perlu mencontohi tindakan yang diambil oleh negara-negara maju di dunia dalam memerangi rasuah termasuk menjatuhi hukuman mati seperti yang diamalkan oleh negara China.
“Dalam menanggani gejala rasuah, MCCF menyarankan agar tindakan yang akan diambil bukan sahaja kepada pemberi dan penerima rasuah malah kepada pengamal rasuah yang terdiri
daripada syarikat-syarikat yang berkepentingan termasuk di sektor awam.
“Perkara ini terbukti apabila dalam tempoh 2013 hingga 2018, enam daripada 10 aduan yang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan sektor perkhidmatan awam manakala rasuah dalam sektor swasta hanya 17.06 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Halim menegaskan, usaha memerangi rasuah perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh termasuk dalam kalangan parti dan ahli politik tanpa mengira siapa atau parti politik yang mereka wakili kerana entiti ini lebih terdedah kepada amalan rasuah tetapi kerap kali terlepas disebabkan wujudnya kepentingan politik.
“Memerangi gejala rasuah seharusnya tidak mengenal siapa pemberi, penerima mahupun pengamalnya. Pelan anti rasuah itu bertujuan memantapkan sistem pengurusan pentadbiran
kerajaan mengenai tadbir urus, integriti dan anti rasuah.
“Dalam soal itu, SPRM perlu diberikan kebebasan melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa wujud sebarang tekanan atau campur tangan pihak-pihak berkepentingan jika kerajaan benar-benar serius untuk menangani gejala rasuah di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











