Mayat nahas pesawat disahkan Sala - Utusan Malaysia

Mayat nahas pesawat disahkan Sala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON 8 Feb. – Polis mengesahkan mayat yang ditemukan dalam bangkai pesawat yang terhempas di Selat Inggeris adalah pemain Cardiff City, Emi­liano Sala.

BBC melaporkan, Sala, 28, yang dalam perjalanan ke Cardiff menaiki pesawat ringan yang dipandu oleh David Ibbotson dilaporkan hilang di Selat Inggeris pada 21 Januari lalu.

Mayat tersebut dibawa keluar semalam selepas bangkai pesawat itu ditemukan pada pagi Ahad lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak polis, mayat yang dibawa ke Pelabuhan Portland itu telah dikenal pasti secara rasmi oleh koroner adalah pemain bola sepak profesional terbabit.

“Keluarga Sala dan juruterbang, Ibbotson telah dimaklumkan tentang perkembangan terkini dan mereka akan terus diberi sokongan oleh pegawai perhubungan keluarga yang terlatih,” jelas kenyataan tersebut.

Mayat pemain bola ber­kenaan ditemukan pada Isnin lalu namun pihak berkuasa mengambil masa dua hari untuk mengeluarkannya daripada bangkai pesawat berkenaan berikutan cuaca buruk.

Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) berkata, operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan sebaik mungkin dan keluarga mangsa sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini.

Kapal Geo Ocean III yang digunakan dalam operasi mencari bangkai pesawat berkenaan telah membawa mayat pemain bola sepak tersebut ke Pelabuhan Portland berhampiran Dorset.

Pesawat Piper Malibu N264DB itu dalam perjalanan dari Perancis ke Cardiff selepas penyerang Argentina itu membuat perpindahan ke kelab baharu bernilai 15 juta pound (RM79 juta).

Cardiff City dalam satu kenya­taan selepas pengesahan rasmi itu menjelaskan, pihaknya bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Sala dan Ibbotson.

Dalam pada itu, mayat juruterbang tersebut masih belum ditemukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN