LONDON 7 Feb. – Mayat salah seorang mangsa dalam pesawat yang membawa pemain Argentina, Emiliano Sala dan juruterbang, David Ibbotson ke Cardiff City sebelum terhempas pada 21 Januari lalu berjaya dibawa keluar dari dasar laut Selat Inggeris, berhampiran Channel Island.
Lapor BBC, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) bagaimanapun setakat ini tidak mendedahkan identiti mayat yang ditemukan dalam bangkai pesawat yang dikesan pada kedalaman 63 meter di dasar laut itu.
Jurucakap AAIB yang menyifatkan operasi itu sangat mencabar berkata, pasukan pencarian terpaksa mengeluarkan mayat tersebut dengan berhati-hati dan cermat menggunakan kenderaan kawalan jauh (ROV) ekoran keadaan cuaca yang buruk.
Mayat itu kemudiannya dibawa ke Isle of Portland sebelum diserahkan kepada unit forensik di Dorset.
Bagaimanapun AAIB memberitahu, pesawat ringan jenis Piper PA-46 itu terpaksa ditinggalkan di dasar laut, kira-kira 34 kilometer dari pesisir pantai Guernsey buat masa ini.
“Usaha mengeluarkan bangkai pesawat itu terpaksa dihentikan seketika dan akan disambung semula apabila keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.
AAIB percaya, imej yang dirakam menerusi ROV bakal mendedahkan ‘bukti yang sangat berharga’ kepada siasatan itu.
Dalam pada itu, kelab bola sepak Ligue 1, Nantes menuntut bayaran pembelian penyerang warga Argentina sebanyak 15 juta pound (RM80 juta) yang dipindahkan kepada mangsa sebelum ini.









