Malaysia sasaran URL berniat jahat - Utusan Malaysia

Malaysia sasaran URL berniat jahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Malaysia menduduki tangga pertama di Asia bagi ancaman perisian jahat atau ‘malware’ melebihi 16 juta ancaman sepanjang 2018 dengan purata melebihi 45,000 ‘malware’ setiap hari.

Laporan ‘Security Roundup’ oleh Trend Micro Incorporated mendapati Malaysia menjadi sasaran paling hebat diserang di rantau ini, dengan hampir 350,000 URL berniat jahat (malicious) yang mempunyai pengehosan tempatan dan sejumlah 10.5 juta individu telah menjadi mangsa kepada URL ini.

Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh berkata, Malaysia di tempat kedua di Asia Tenggara dalam kategori mengalami serangan kompromi e-mel perniagaan (BEC) pada tahun lepas, Singapura tangga pertama. 

“Penipuan BEC telah sekian lama menjadi masalah kepada syarikat-syarikat yang berpangkalan di Malaysia. Bagi mengurangkan risiko BEC, menangani faktor manusia merupakan elemen yang kritikal. 

“Latihan mengenai kesedaran sekuriti siber, bersama-sama dengan penggunaan teknologi sekuriti termaju seperti ‘writing style DNA’ berupaya membina pertahanan yang berkesan untuk berdepan dengan penipuan BEC dan ancaman siber lain,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini,

Menurut Biro Siasatan Persekutuan (FBI), BEC telah menyebabkan kos kerugian berjumlah AS$12.5 bilion (RM 50.88 bilion) kepada syarikat-syarikat di seluruh dunia setakat 2018. 

Chee Hoh berkata, di Malaysia, perbelanjaan untuk produk dan perkhidmatan teknologi diunjurkan mencecah RM65.2 bilion pada 2019, iaitu kenaikan sebanyak 4.6 peratus daripada 2018. 

Jelasnya, syarikat perlu memperkukuh pertahanan siber mereka pada setiap titik sentuh, iaitu pada titik akhir, di awan dan juga di lapisan rangkaian. 

“Trend Micro pada masa ini melihat peluang yang sangat besar dalam penerapan sekuriti titik akhir termaju seperti pengesanan dan respons titik akhir dan perkhidmatan pengesanan dan respons terurus di Malaysia.

“Kaedah ‘malware’ dan serangan kini semakin bersifat mencuri-curi dan kebanyakan daripadanya seperti ‘fileless malware’ berupaya untuk mengelakkan pertahanan secara tradisional yang ada pada hari ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN