BACHOK 14 Feb. – Penganjuran Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019) ditunda bukan sahaja bagi memberi laluan kepada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) malah bagi memastikan program itu mendapat liputan meluas media.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sekiranya dua program besar itu berlangsung serentak, ia memberi masalah kepada pihak media terutama media antarabangsa kerana berlaku pertindihan penggunaan logistik seperti dron dan helikopter.
Dalam masa sama kata beliau, penganjuran LIMA’19 juga memberi kesan kepada LTdL 2019 kerana ruang udara ditutup sepenuhnya sebagai langkah keselamatan.
“Mesyuarat Kabinet memutuskan perkara itu semalam kerana tidak mahu dua program besar berlangsung pada tarikh sama.
“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Lokman Hakim Ali dan semua pihak terlibat telah mengadakan pertemuan pagi ini bagi menetapkan tarikh baharu LTdL 2019.
“Dua acara besar ini dibahagikan kepada dua fasa kerana kita mahu memastikan ia berlangsung dengan lancar dan mendapat liputan meluas media,” katanya pada sidang akhbar selepas Townhall ‘Anok Mudo’ di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKBN), di sini hari ini.
LIMA’19 diadakan pada 26 hingga 30 Mac, manakala LTdL 2019 pada asalnya akan diadakan pada 24 hingga 31 Mac dikhabarkan akan ditunda ke tarikh lain.
Banyak pihak berpendapat LTdL 2019 tidak patut ditunda ke tarikh lain kerana mendatangkan banyak masalah kepada semua pasukan yang sudah membuat pengesahan penyertaan awal.
Dalam perkembangan sama, Syed Saddiq berkata, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa diyakini dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dalam kalangan peminat sukan seluruh dunia.
“Ini terbukti apabila perlumbaan Motorcycle Grand Prix di Sepang, Selangor berjaya menggamit tontonan 180,000 peminat sukan itu,” katanya.
Dalam soal jawab bersama belia sebelum itu, Syed Saddiq berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan Kerajaan Pas Kelantan untuk menyediakan litar perlumbaan motosikal yang boleh dikongsikan bersama negeri-negeri di Pantai Timur.
“Kementerian tidak akan mengabaikan prasarana pembangunan sukan di negeri ini yang boleh dibincangkan keperluannya menerusi Jabatan Belia dan Sukan.
“Keperluan prasarana sukan tidak akan dicampur adukkan dengan perbezaan politik. Kita lebih fokus untuk membangunkan bakat sukan di pelbagai ceruk dan lebih mementingkan keperluan rakyat terutama golongan belia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










