KOTA BHARU 8 Feb. – Memiliki ijazah sarjana muda palsu menggunakan nama universiti terkemuka seperti Cambridge, Oxford dan Harvard boleh disifatkan sebagai standard yang biasa dibuat oleh seorang ‘conmman’ atau penipu kelas bawahan.
Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, penipuan kelas bawahan itu bukan standard bagi seorang individu berstatus Timbalan Menteri dalam Kabinet negara seperti Datuk Marzuki Yahya.
Sehubungan itu katanya, Marzuki sewajarnya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri daripada terus mempertahankan sama ada ijazah beliau dikeluarkan oleh Universiti Cambridge sebenar atau pun Universiti Cambridge atas talian.
“Kita tidak mahu Malaysia menjadi bahan lawak kepada dunia. Sudah cukup kerajaan kita mendapat ‘troll’ rakyat di media sosial setiap hari.
“Mungkin beliau patut berehat seketika dan betul-betul masuk universiti!” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Isu itu timbul apabila Marzuki pada awalnya dikatakan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari University of Cambridge, England dan kemudiannya menjelaskan ijazah beliau adalah dari Cambridge International University yang berpusat di Amerika Syarikat (AS).
Nik Saiful Adli dalam pada itu berkata, jika dakwaan itu benar, perbuatan Marzuki telah mencemarkan institusi akademik dengan meletakkan anggapan bahawa kelulusan akademik boleh dijual beli dan boleh muat turun daripada internet.
“Pencapaian akademik adalah pengiktirafan terhadap kemuliaan darjat ilmu pengetahuan, bukannya semata-mata sekeping sijil yang boleh diperoleh semudah log in (log masuk), download (muat turun) dan print (cetak).
“Adakah individu yang menghina status akademik ini layak mewakili suara rakyat Malaysia, menjadi wakil negara ke peringkat antarabangsa? Jawatan Timbalan Menteri Luar bukanlah sembarangan, tetapi menjadi duta negara ke seluruh dunia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










