“Hi boleh berkenalan?,” tiba-tiba satu mesej masuk dalam akaun media sosial Miss Kitty. Eh, siapa pulak mamat ni, dah la letak gambar profil watak dalam filem Star Wars, Darth Vader. Bukan wajah sebenar. Ada hati pula, nak mengurat Miss Kitty. Rasanya ini bukan Bro Tompok, kalau hendak bergurau pun gunalah gambar lain. Dah la mood Miss Kitty tengah ke laut ni. Banyak hal hendak diuruskan.
Sebenarnya, Miss Kitty terima banyak mesej dalam laman sosial. Mahu berkenalanlah, mahu bertanyakan sesuatulah dan yang paling tak masuk akal, mahu beri Miss Kitty duit. Biasanya, Miss Kitty buat tak reti sajalah. Ini kalau layan semua ini jadi masalah negaralah lepas ini.
Miss Kitty bukan mahu perasan. Orang lelaki ni, kalau hendak `jual ubat’ dia bukan kira perempuan tu tua ke, budak sekolah ke, isteri orang ke, emak orang ke, tunang orang ke, nenek kebayan ke, dia main rembat je. Mereka ini macam dah tak ada kerja. Asyik ‘usha awek’ dalam akaun media sosial saja cakap orang sekarang untuk dijadikan mangsa dan mengisi kesunyian konon.
Jadi orang perempuan kenalah berhati-hati. Jangan layan orang yang tak dikenali. Sebab melayanlah, ramai yang kena tipu. Dengan orang lelaki yang kita sudah kenal bertahun-tahun pun boleh kena tipu, inikan pula dengan orang yang kita tak pernah jumpa. Ye tak?
Yang hendak bagi duit atau meminta pertolongan, rupanya scammer, yang kata bujang rupanya suami orang dan yang suami orang pula mengaku tidak bahagia dengan isteri dan mahukan perhatian, walhal elok saja dengan pasangan di rumah, saja hendak cari mangsa lepas satu berjaya ditipu, dia cari pula perempuan lain.
Yang kena tipu duit beribu-ribu ringgit, sudah banyak kali dilaporkan dalam media, tapi orang perempuan tetap terpedaya. Entahlah, Miss Kitty pun hairan, kalau ada banyak duit, buat apalah diserahkan kepada lelaki durjana ini, menghabis beras saja cakap orang dulu-dulu, lebih baik sedekah pada orang susah, anak yatim atau kalau dah tak tahu hendak buat apa sangat dengan duit itu belanja Miss Kitty shopping.
Tapi Miss Kitty tahu, Bro Tompok tak berperangai macam itu. Facebook dia pun dah bersawang. Instagram satu gambar pun tak ada. Manalah reti main DM atau PM orang perempuan dalam media sosial. Bro Tompok ni walaupun dia mengaku hensem dan mendakwa diminati ramai gadis, Miss Kitty tengok sebenarnya dia gerun dengan perempuan. Berani kutuk belakang-belakang saja. Perempuan datang depan dia, dia tunduk.
Berbalik pasal ‘jual ubat’ dalam media sosial, lebih baiklah korang jadi usahawan online. Jual barangan, dapat juga duit halal daripada mengacau dan menipu perempuan. Dosa dapat, kena sumpah hidup tak bahagia pun dapat daripada mangsa. Doa orang teraniaya ni jangan buat main.
Banyak benda bermanfaat boleh dibuat melalui media sosial, boleh berniaga, mengetahui berita-berita semasa, bertanyakan kemusykilan agama pada ustaz-ustaz, boleh tahu restoran mana yang makan sedap, boleh tengok troll Malu Apa Boss Ku, eh, macam-macam lagilah.
Miss Kitty, dulu melalui Facebook dapat kumpul ramai kawan yang main game ‘Mafia Wars’. Itu dululah masa permainan tu tengah meletup. Kami adakan perjumpaan, sampai sekarang kami masih jadi kawan. Masih bertanya khabar. Pernah kereta Miss Kitty rosak di tengah jalan, mereka datang memberi pertolongan.
Jadi Miss Kitty hendak berpesan-pesan pada orang perempuan. Jangan mudah percaya dengan orang lelaki. Sekeliling kita ni, banyak buaya yang tunggu peluang saja hendak buka mulut. Yang ada anak-anak perempuan pun selalulah pantau, budak-budak manalah tahu bahaya, sedangkan yang tua pun boleh kena tipu. Haru betul!
Miss Kitty – Ada ke lagi yang main Candy Crush?










