KLANG – Seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Sri Lanka dijatuhi hukuman penjara 14 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan cuai menyebabkan kematian seorang pemuzik jalanan minggu lalu.
Tertuduh, Kadiswaran, 24, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.
Mengikut pertuduhan, pekerja gerai minuman itu didakwa dengan cuai tidak terjumlah hingga menyebabkan kematian M. Ratha Krishnan, 64, di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa di sini kira-kira pukul 8.30 malam, 4 Februari lalu.
Justeru, lelaki berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa dengan rantai besi pengunci motosikal dan menolaknya sehingga terbaring di tepi jalan.
Tindakan itu bagi meleraikan pergaduhan yang berlaku antara mangsa dan seorang wanita yang juga majikannya di lokasi kejadian.
Selain itu, pada prosiding sama, Kadiswaran turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu memasuki negara ini tanpa dokumen yang sah.
Bagi kesalahan itu, Solehah Noratikah menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan serta dua sebatan dan diusir ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.
Kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap iaitu pada 5 Februari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali, manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Aida Md Zainuddin.
Akhbar Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan seorang wanita tergamak membunuh seorang pemuzik sambilan angkara tidak berpuas hati dengan lelaki itu yang disyaki bercinta dengan ibu mertuanya di sebuah rumah teres di Taman Sentosa di sini pada Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Ratha berusia 64 tahun maut akibat cedera parah pada kepala selepas dipukul menggunakan cota.
Pada masa sama, polis turut menahan seorang lelaki yang juga pekerja kepada wanita terbabit di Jalan Besar Pandamaran, di sini pukul 3.30 petang. – K! ONLINE










