Lebih baik fokus tunai janji daripada terima bekas pemimpin UMNO- AMK - Utusan Malaysia

Lebih baik fokus tunai janji daripada terima bekas pemimpin UMNO- AMK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 14 Feb. – Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima penyertaan bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai parti itu cukup mengecewakan.

Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim
Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim 

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kangar, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim berkata, Perdana Menteri sepatutnya fokus menunaikan janji manisfesto, bukannya menerima bekas pemimpin UMNO semata-mata untuk memperkuatkan parti sendiri.

Katanya, Dr. Mahathir perlu melihat situasi semasa yang menyaksikan rakyat khususnya golongan muda, penoreh getah, nelayan dan ramai lagi telah menyatakan kekesalan akibat kegagalan kerajaan menunaikan janji.

“Saya melihat perkara itu (menunaikan janji) adalah lebih penting daripada menerima penyertaan bekas pemimpin UMNO. Selepas 10 bulan memerintah, sepatutnya fokus untuk menunaikan janji. Di media sosial khususnya, rakyat sudah mula mempertikai kredibiliti kerajaan Pakatan Harapan (PH), kita jangan ambil mudah perkara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, enam bekas wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa Dr. Mahathir.

Mereka adalah Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd. Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Keputusan menerima mereka bagaimanapun ditentang oleh ramai pemimpin PH terutama daripada PKR.

Tambah Abdul Asymawi, sepatutnya pemimpin terbabit kekal di dalam pembangkang untuk mengimbangi kerajaan pada hari ini bukannya keluar parti menyertai Bersatu.

“Dulu kita lawan UMNO, sekarang kita terima pemimpin UMNO, bagi saya itu tidak patut,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berharap Dr. Mahathir  menunaikan janjinya untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.- UTUSAN ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN