Lebih 2,000 serbu plot tanaman rambutan MARDI - Utusan Malaysia

Lebih 2,000 serbu plot tanaman rambutan MARDI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Lebih 2,000 warga kota ‘menyerbu’ plot tanaman rambutan di Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (AM) Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian (MARDI) sempena dengan program Petik Sendiri Buah Rambutan di sini hari ini.

Seawal pukul 7 pagi lagi, penggemar buah-buahan tempatan sudah membanjiri kawasan tanaman tersebut sebelum dibuka kepada awam bermula pukul 8 pagi.

Rata-rata yang hadir adalah penduduk di sekitar Lembah Klang, Selangor serta Negeri Sembilan.

Timbalan Pengarah Am MARDI, Azman Adam berkata, sebanyak 250 batang pokok rambutan yang ditanam di atas tanah keluasan dua hektar disediakan kepada orang ramai meliputi empat jenis buah rambutan iaitu anak sekolah, jarum mas, gula batu dan gading.

Katanya, program berkenaan juga bertujuan mendekati masyarakat setempat dengan agensi penyelidikan pertanian serta mempromosi buah-buahan tempatan.

“Kita pernah adakan program seperti ini tahun lepas tetapi tidak secara terbuka dan hari ini kita buka kepada semua pihak bagi memberi peluang kepada mereka merasai suasana memetik buah sendiri.

“Saya lihat program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kita akan adakan pada tahun akan datang termasuk membuka plot-plot tanaman lain,” katanya di sini hari ini. 

Yang turut hadir Pengarah Pusat Komunikasi Korporat MARDI, Dr. Mohd Syaifudin Abdul Rahman. – UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×