SEREMBAN 27 Feb. – Lebih daripada 10 nama telah dikemukakan oleh pelbagai pihak kepada Pakatan Harapan (PH) negeri, memohon untuk dijadikan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sesiapa pun boleh menyerahkan nama untuk menjadi calon, namun ia akan disenarai pendek sebelum diumumkan oleh Biro Politik PKR dengan persetujuan Majlis Presiden PH.
“Calon memang ramai, malah terlampau ramai, semua hendak jadi calon, tidak mengapa..kita terima.
“(Jumlahnya kini) lebih 10 (orang). Ini menunjukkan mereka hendak jadi calon. Dulu semua tidak mahu.. sekarang semua hendak jadi (calon),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan dan Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri di Sikamat dekat sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin berkata, tiada masalah untuk mana-mana pihak menjalankan gerakan melalui persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk PRK DUN Rantau.
Apa yang penting, jelasnya, ialah semua gerakan itu bergerak dengan tujuan untuk memastikan kemenangan PH dalam PRK tersebut.
Baru-baru ini, sebuah pertubuhan dikenali Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH DUN Rantau telah mengadakan sidang akhbar meminta seorang ahli jawatankuasa PKR Cabang Rembau diberi keutamaan menjadi calon dalam PRK tersebut.
Bagaimanapun, Ketua dan Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, R. Tanggam dan Dr. S. Streram, masing-masing menafikan kewujudan badan bertindak tersebut. – UTUSAN ONLINE










