BERSUA bicara dengan pelakon yang cukup popular ini, tidak sekali dia menampilkan sisi yang jelik untuk dilayan. Tidak seperti beberapa teman seperjuangannya yang lain, pelakon popular di Indonesia ini cukup berjiwa hamba, ramah dalam melontar kata dan santai sekali perilakunya.
Mungkin kerana dia anak tempatan, jiwanya lebih mudah untuk berkongsi bicara. Apatah lagi tatkala penulis berkongsi lokasi makanan yang menyelerakan sekitar Kuala Lumpur, pantas sahaja mulutnya berbicara dengan rasa teruja.
Sekali pandang mungkin pemilik nama Miller Khan ini kelihatan seperti bukan kelahiran tempatan. Namun, anak jati Kuala Lumpur ini sememangnya tidak pernah melupakan asal usulnya. Selama 13 tahun berkelana mencari rezeki di bumi asing, jiwa Malaysia tidak pernah hilang.
Diaju soalan tidakkah mahu melebarkan sayap dalam industri perfileman tempatan, dia hanya menjawab dengan senyuman manis. Tidak mahu kelihatan sombong, jauh sekali bersikap diva, dia sedar komitmen dan masa sebagai pelakon di Indonesia menjadi penghalang.
“Memang ada terima tawaran daripada produser Malaysia, namun saya terpaksa menolak dengan baik. Saya tidak mahu membebankan diri dengan sesuatu yang mungkin sukar untuk dilaksana. Komitmen saya di Indonesia cukup tinggi.
“Lagipun, saya sudah membuka syarikat pengurusan bakat, jadi masa lebih terarah kepada menguruskan pendatang baharu. Saya perlu bijak menyusun strategi untuk mereka terus mencipta nama biarpun lambakan bintang seni baharu ibarat cendawan tumbuh selepas hujan,” katanya.
Sekalipun dia kini memberi isyarat sudah ‘cuci tangan’ untuk berlakon sinetron sejak dua tahun lepas, Miller bagaimanapun semakin aktif di pentas perfileman. Tahun ini sahaja dia bakal tampil dengan lebih dua nashkah yang masing-masing punya tarikan tersendiri.
Sedar berlakon sinetron menuntut komitmen masa yang sangat tinggi, Miller atau nama sebenarnya Mohamad Suhaimi Ali Dad Khan sudah puas berlakon sinetron. Lebih 2,000 episod, dia berasakan sinetron sudah seperti kehilangan arah dan asyik mengulang guna jalan cerita sama.
“Mungkin saya sudah puas berlakon sinetron. Bayangkan pelbagai watak daripada orang kaya, miskin dan pelbagai lagi saya sudah bawa. Lagipun, berlakon sinetron memerlukan komitmen masa yang sangat tinggi. Lebih baik saya fokus filem.
“Kalau hendak cakap pasal rugi dari sudut pendapatan, saya rasa kewangan saya sudah stabil sekarang. Sebab itu saya berani berehat sebentar dan fokus filem serta perniagaan baharu. Lebih senang untuk saya susun jadual.
“Lagipun, di bawah pengurusan saya, ada lapan orang pendatang baharu. Saya kena betul-betul jaga mereka. Tapi tak apa, pelakon baharu belum belajar apa itu sombong dan berlagak. Senang jaga,” seloroh lelaki berdarah kacukan Pakistan-Cina-Arab itu.
Masih bicara dalam putaran sama, Miller berkongsi keterujaan apabila bakal melebar sayap dengan membintangi filem Korea tahun ini. Bukan kali pertama terlibat dalam produksi luar negara, Miller bersedia untuk melangkah terus ke hadapan.
“Sebelum ini saya pernah membintangi sebuah filem Korea, Revenger. Bertitik tolak dari situ, mungkin produser di sana nampak bakat dan kemampuan saya. Insya-Allah, saya boleh bina kerjaya dan nama di sana.
“Memang ada niat untuk berhijrah ke Korea. Mungkin selepas ini saya perlu belajar bahasa Korea. Senang bekerja dan dapat menjamin masa depan yang lebih cerah di sana,” jelas Miller.
Kahwin? Nanti dululah…
Tidak berahsia apabila ditanya tentang hubungan cinta dengan seorang wanita, Miller bagaimanapun tidak mahu meneruskan bicara soal perkahwinan. Baginya pada usia 32 tahun, dia masih berusaha menggapai impian dan sasaran hidup.
Tidak mahu mendedahkan identiti wanita bertuah itu, Miller lebih selesa untuk berbicara soal kerjaya dan perancangannya. Bagaimanapun, dia mengakui gadis pilihan hatinya itu bukan dalam kalangan pemain industri dan mereka sudah hampir dua tahun menjalin hubungan cinta.
“Dia seorang chef dan bukan artis. Kami sudah setahun sembilan bulan bercinta. Sebenarnya, itu tempoh paling lama saya pernah menjalinkan hubungan dengan seorang wanita. Saya selesa dengan dia.
“Jangan tanya soal kahwin ya sebab sekarang saya mahu fokus kerjaya dan perniagaan. Nanti kalau saya sudah bersedia, baru fikir soal kahwin,” katanya sambil mengukir senyuman manis.
Minako beri pengalaman berbeza
Membintangi filem seram, Hide and Seek: Minako, Miller berkongsi kejadian mistik yang tidak dapat dilupakan. Bukan mereka-reka cerita sebagai gimik pelaris karya, kejadian yang berlaku turut melibatkan beberapa kru produksi.
“Ketika itu sudah pukul 3 pagi dan saya baru sahaja tamat penggambaran. Niat ingin berehat sebentar, namun secara tiba-tiba ada seorang kru produksi wanita datang menerpa saya. Terkejut juga pada mulanya sebab entah kenapa dia seperti kerasukan.
“Mana tidaknya, dia cuba mengigit dan memukul. Namun, akibat kepenatan yang terlampau, saya buat tak tahu sahaja dan cuba melarikan diri. Saya macam malas dan tidak ada tenaga untuk terus melayan benda mistik seperti itu.
“Nasib baik kru tersebut dapat ditenangkan dengan bantuan rakan yang lain. Keesokan harinya dia malu sendiri. Tapi itu semua kenangan yang cukup berharga sepanjang penggambaran filem tersebut sekitar 2017,” katanya.
Menjengah ke panggung tempatan hari ini, filem yang turut dibintangi Nicky Tirta, Gandhi Fernando dan Wendy Wilson itu berkisahkan sekumpulan rakan yang bertemu semula dan berdepan pengalaman menyeramkan selepas bermain permainan mistik, Hitori Kakurenbo.
Filem yang sudah ditayangkan di Indonesia dua tahun lalu, dibawakan secara eksklusif oleh Horizon Film Entertainment dengan kerjasama TGV Pictures.










