Kuil Sri Maha Mariamman: Hormati keputusan mahkamah - MB Selangor - Utusan Malaysia

Kuil Sri Maha Mariamman: Hormati keputusan mahkamah – MB Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 14 Feb. – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari meminta semua pihak mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang menolak injuksi menghalang syarikat One City Development Sdn Bhd daripada mengambil tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Tegas Amirudin, kerajaan negeri mengambil maklum penghakiman tersebut yang membatalkan saman untuk menghalang pemindahan kuil dari tapaknya dan semua pihak perlu menghormati keputusan itu bagi menjamin ketenteraman dan keluhuran undang-undang.

“Kerajaan Negeri Selangor bersedia bekerjasama dengan semua pihak bagi mematuhi dan melaksanakan keputusan penghakiman dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi menjamin kesentosaan negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Hakim Wong Kian Kheong dalam penghakimannya berkata, 50 penganut Hindu yang bertindak sebagai plaintif tiada locus standi untuk menyaman lima defendan, yang mana salah satunya adalah syarikat tersebut.

Beliau menolak permohonan injunksi oleh plaintif untuk menghalang One City daripada mendekati tanah itu untuk meruntuhkan kuil, serta untuk menangguhkan pelaksanaan writ pemilikan syarikat itu.

Dalam penghakiman bertulisnya, Wong berkata tiada bukti bahawa adat Hindu mempunyai kuasa undang-undang seperti dalam hujah plaintif.

“Saya terikat untuk menolak sebarang kebergantungan terhadap adat Hindu dan menolak Kanun Tanah Negara.

“Tafsiran undang-undang dalam Artikel 160(2) dalam perlembagaan menyatakan ‘undang-undang’ termasuk undang-undang bertulis,common law selagi ia terpakai dalam persekutuan atau bahagiannya, dan apa-apa adat atau kebiasaan mempunyai kuasa undang-undang dalam persekutuan atau bahagiannya.

“Menurut tafsiran ini, adat atau kebiasaan hanya boleh dikuatkuasakan jika boleh ditunjukkan ia ada ‘kuasa undang-undang’.

“Dalam kes ini, tiada bukti bahawa adat Hindu ada kuasa undang-undang,” katanya.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN