LONDON 16 FEB. – AKHBAR Britain percaya, Juventus perlu mengemukakan tawaran jauh lebih lumayan jika mahu mendapatkan Mohamed Salah kerana bintang penyerang Liverpool itu jelas memiliki rekod lebih baik daripada Paulo Dybala.
Skuad Old Lady sebelum ini menawarkan 50 juta euro (RM229.01 juta) berserta Dybala kepada Reds bagi mendapatkan khidmat Salah, yang mahu digandingkan bersama Cristiano Ronaldo.

Gergasi bola sepak Itali itu menganggarkan nilai Dybala 100 juta pound (RM526.74 juta), jadi tawaran yang diberikan kepada Liverpool adalah munasabah.
Menurut Daily Mail, penyerang Portugal, Ronaldo sendiri meminta kelab itu untuk mendapatkan Salah yang telah mencipta pelbagai rekod bersama Liverpool, termasuk muncul penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris pada musim pertamanya di Anfield.
Musim lalu, Salah, 26, meledak 43 gol dalam semua pertandingan dan membantu pasukan itu muncul naib juara Eropah.
Selepas mengharungi 26 perlawanan liga musim ini, Salah sudah pun meledak 17 gol, sekali gus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama Sergio Aguero dari Manchester City.
Biarpun Dybala belum membuktikan kehebatan berbanding Salah, namun sesetengah akhbar Britain percaya, kemasukan penyerang Argentina berusia 25 tahun itu akan menjadikan permainan Reds lebih menarik.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mungkin akan beralih kepada formasi 4-2-3-1, yang bermakna mereka akan bermain dengan lebih menyerang berbanding sistem 4-3-3 yang digunakan ketika ini.
Menurut mereka, situasi akan menjadi lebih menarik, jika Reds turut mendapatkan penyerang Jerman, Timo Werner dari RB Leipzig kerana pemain berusia 22 tahun itu kini dalam pemantauan Klopp.
Werner sudah meledak 11 gol daripada 19 perlawanan Bundesliga musim ini. – AGENSI











