Ketepikan sengketa politik demi pembangunan sukan - Utusan Malaysia

Ketepikan sengketa politik demi pembangunan sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK 14 Feb. – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memastikan pembangunan prasarana sukan di Kelantan serta negeri-negeri pembangkang lain dilaksanakan secara telus dan adil biarpun diperintah pihak yang berbeza ideologi politik.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, khidmat kementerian itu kepada anak muda dan belia adalah satu keperluan dan perkara itu perlu dilaksanakan merentasi sempadan politik.

“Tidak boleh ada toksik politik kerana pada satu tahap, kita perlu utamakan perkhidmatan. Soal perbezaan fahaman adalah perkara biasa yang kita hormati. Lawan kita lawan, itu dalam berpolitik.

“Apa pun, dalam aspek perkhidmatan, kita (Pusat dan negeri) perlu berkawan terutama dalam usaha membangunkan anak muda di negeri ini,” katanya dalam sidang Town Hall Anok Mudo di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Bachok, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, pelan infrastruktur sukan negara disiapkan tanpa mengetepikan sama sekali negeri-negerj yang tidak sehaluan dengan kerajaan Pusat.

Malah kata beliau, semua kepimpinan kerajaan negeri akan dijemput bermesyuarat dengan pihak kementerian bagi mencapai kata sepakat berhubung perkara berkaitan keperluan golongan belia.

“Dalam pelan ini, pembangunan prasarana sukan akan difokuskan di kawasan bandar, luar bandar serta kawasan yang bermasalah sosial yang telah dikenal pasti.

“Kawasan yang bermasalah termasuk kes dadah, rempit dan sebagainya akan diberi tumpuan utama kerana kita akan dekati mereka untuk membantu mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN