SHAH ALAM – Seorang kerani kilang wanita maut setelah bertarung nyawa selama 10 hari akibat melecur selepas dibakar suaminya tanpa sengaja di rumah mereka di Batu 6, Bukit Naga, Seksyen 32, di sini pada 7 Februari lalu.
Mangsa, Rosnani Samsudin, 44, disahkan meninggal dunia pukul 4 pagi semalam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat jangkitan kuman pada kawasan melecur di bahagian muka dan tangan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal pihaknya mendapati berlaku pentengkaran antara pasangan mangsa dan suaminya yang merupakan pemandu lori pukul 9 malam, 7 Februari lalu.
Menurutnya, suami mangsa telah mengugut untuk membakar rumah mereka dengan menyimbah petrol pada palet kayu kecil yang dibawanya sebelum bertindak membakarnya.
“Berang dengan tindakan suaminya itu, mangsa kemudian telah merampas bekas petrol itu sebelum mencurah ke badannya sendiri. Mangsa menyatakan kepada suaminya agar membakar dirinya sekali sekiranya ingin membakar rumah mereka.
“Suspek yang turut berang dengan tindakan mangsa telah menyalakan api dari pemetik api dipercayai dengan niat untuk mengacah namun secara tiba-tiba api terus menyambar tudung mangsa hingga merebak ke seluruh badan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Baharuddin berkata, mangsa yang terbakar kemudiannya berguling-guling lantai dengan suspek membantu memadamkan kebakaran itu sambil menjerit meminta tolong
Ujar beliau, adik ipar mangsa yang mendengar jeritan itu kemudiannya bergegas ke rumah pasangan itu yang terletak bersebelahan dengan rumahnya.
“Adik ipar mangsa mendapati sofa rumah tersebut terbakar dengan pasangan suami itu terbaring dalam keadaan melecur sebelum menghantar mereka ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
“Bagaimanapun, mangsa yang melecur hampir 50 peratus di tangan dan muka kemudiannya telah dipindahkan ke HKL manakala suami mangsa berusia 41 tahun yang hanya melecur di tangan dan kaki dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Baharudin menambah, mangsa yang menerima rawatan selama 10 hari di HKL kemudiannya disahkan meninggal dunia semalam akibat jangkitan kuman di bahagian kesan melecur.
Jelas beliau, siasatan lanjut pihaknya mendapati pasangan terbabit telah berkahwin hampir 19 tahun dan dikurniakan lima cahaya mata.
“Bagaimanapun, berlaku pergaduhan antara mereka sejak lapan tahun lalu yang disyaki berpunca daripada hal-hal kecil seperti mangsa yang bekerja sebagai kerani sebuah kilang pulang lewat, tidak mengemas rumah dan sebagainya.
“Suspek kemudiannya ditangkap pukul 11.30 malam tadi selepas menyerah diri selepas pengebumian mangsa,” katanya.
Baharudin menegaskan kes itu pada awalnya disiasat di bawah Seksyen 307/ 309 Kanun Keseksaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 304 kanun sama kerana mendatangkan kematian tanpa niat. – K! ONLINE











