KEMAMAN 16 Feb. – Pas menyifatkan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa parti itu tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sebagai bermotifkan politik.
Ia juga satu tindakan memanipulasi pertemuan antara beliau dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin parti itu di ibu negara semalam.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, sebagai blok pembangkang, parti itu kekal dengan pendirian menyokong calon Barisan Nasional (BN) dan perkara itu terbukti dengan kehadiran beberapa pemimpinnya ke Pusat Penamaan Calon PRK DUN Semenyih, pagi ini.
Kata beliau, jika dakwaan tersebut benar, mana mungkin Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang bersama-sama dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan dengan Perdana Menteri di ibu negara semalam hadir ke Semenyih bagi menyatakan sokongan kepada calon UMNO.
“Saya pun tidak tahu macam mana Dr. Mahathir boleh buat kenyataan begitu dalam keadaan pimpinan Pas pun tidak buat kenyataan demikian.
“Jadi saya kira sama ada saya kena dapat maklumat lanjut ataupun itu hanya kenyataan politik sahaja yang lebih bersifat manipulasi pertemuan, wallahualam tetapi saya terkejutlah dengan kenyataan dia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program Ijtimak Siber yang disempurnakan oleh Abdul Hadi di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Dr. Mahathir mengenai pengakuan Abdul Hadi yang Pas tidak akan menyokong calon UMNO pada PRK DUN Semenyih.
Menurut Nasrudin, selain Takiyuddin, turut hadir memberikan sokongan kepada calon BN hari ini termasuk Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad.
Dalam perkembangan sama, katanya, kepemimpinan Pas dimaklumkan pertemuan antara Abdul Hadi dan Dr. Mahathir membabitkan perbincangan hubungan dua hala kerajaan negeri Terengganu dan Persekutuan dalam isu royalti, Majlis Tindakan Ekonomi dan lain-lain perkara, tanpa menyentuh soal politik.
Sementara itu Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, kerjasama antara Pas dan UMNO dalam PRK DUN Semenyih masih kekal seperti sedia kala.
Katanya, ekoran itu beliau hadir ke pusat penamaan calon bagi memberi sokongan kepada calon BN.










