KOTA BHARU 20 Feb. – Kerajaan Pas Kelantan berkeyakinan tinggi dan menaruh kepercayaan terhadap kemampuan serta kewibawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri ketujuh sehingga penggal ini berakhir.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sekiranya tiada mana-mana pihak yang mengganggu atau menghalang proses pentadbiran negara, pihaknya percaya Perdana Menteri mampu melaksanakan tugas beliau menerajui negara ini dengan baik sepanjang tempoh itu.
“Kelantan yang menjunjung semangat federalisme sentiasa memberikan kerjasama terbaik kepada Kerajaan Persekutuan khususnya sejak kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketujuh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ahmad juga berkata, sehingga kini Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa berhubung secara terus dengan Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri mengikut portfolio masing-masing.
Kata beliau, perkara itu merupakan salah satu usaha pihaknya dalam memperkukuh kerjasama sedia ada antara Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan negeri akan sentiasa memberikan kerjasama yang terbaik kepada Kerajaan Persekutuan khasnya dalam perkara yang melibatkan kedaulatan agama Islam, keamanan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Kenyataan rasmi dikeluarkan Ahmad ini dipercayai merujuk kepada dakwaan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan pada Ahad lalu bahawa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar sedang merancang untuk menyingkirkan Dr. Mahathir melalui undi tidak percaya terhadap beliau di Parlimen. – UTUSAN ONLINE










