Setiap hari ada beribu-ribu atau barangkali berjuta-juta video pendek berlegar dalam aplikasi media sosial dengan membawa pelbagai subjek. Carian dalam internet menyenaraikan antara subjek paling popular ialah video masakan atau makanan, vlog, nyanyian semula lagu-lagu popular, parodi, pembangunan diri, gosip orang kenamaan, aksi binatang yang melucukan, prank, koleksi produk peribadi serta ulasan satu-satu produk.
Selain itu rakaman video secara langsung satu-satu peristiwa pelik dan jarang berlaku serta kejadian jenayah, kemalangan ngeri atau aksi-aksi lucu spontan yang mencuit hati selain ceramah agama atau kisah-kisah yang mencetuskan inspirasi kejayaan hidup antara yang popular dan kerap diulang tonton.
Beberapa hari lalu penulis menerima satu rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp yang dipercayai sudah lama dikongsi dalam pelbagai platform media sosial. Video itu biasa-biasa sahaja berkaitan koleksi rakaman kerenah binatang liar dan haiwan peliharaan berkasih sayang. Ini bukan kali pertama penulis menonton rakaman seumpama itu. Dalam laman perkongsian video YouTube pun ada beribu-ribu video bertemakan sedemikian. Dalam video tersebut digambarkan seekor gorila memeluk erat seorang manusia yang dipercayai pernah menjaga dan merawatnya dalam satu pertemuan semula di pinggir hutan di sebuah negara.
Pertemuan itu begitu mengharukan apabila binatang dan manusia dalam rakaman video itu seolah-olah tidak mahu melepaskan pelukan kerinduan mereka.
Menariknya kisah hubungan kasih sayang haiwan-manusia dalam video tersebut bukan tertumpu pada binatang peliharaan yang biasa dilihat seperti anjing dan kucing, tetapi turut melibatkan spesies burung, burung hantu, itik, angsa dan ayam serta haiwan liar yang dikategorikan ganas seperti harimau, singa dan gajah. Aksi seekor angsa menerpa sambil mendepangkan kedua-dua sayap dan terus melabuhkan leher panjang ke bahu tuannya manusia sangat menyentuh hati. Apa yang dilakukan oleh si angsa itu seolah-olah menggambarkan kerinduan yang amat sangat setelah sekian lama terpisah. Terdapat juga rakaman video kasih sayang sesama binatang berlainan jenis yang sanggup membantu atau menyelamatkan haiwan lain yang berada dalam kesusahan atau keadaan bahaya sama ada diserang musuh, hampir lemas, terjatuh ke dalam gaung, terperangkap dan banyak lagi.
Video tersebut memberikan penonton satu pengajaran bahawa naluri untuk berkasih sayang itu milik semua makhluk bukan terbatas kepada manusia sahaja. Malah jika dilihat kepada aksi-aksi binatang tidak berakal ini kasih sayang sesama mereka sangat kuat, lebih jitu dan lebih luhur. Menonton video tersebut terus mengingatkan penulis kepada beberapa insiden, perbuatan atau peri laku tidak baik dan tidak beradab seperti penderaan, kekejaman, kekasaran tutur kata, perbuatan atau tulisan yang sedang berleluasa sejak akhir-akhir ini. Setiap kali berlaku kejadian sedemikian orang ramai akan mula mengungkap kata-kata perbandingan seperti: Haiwan lebih berhati perut, lagikan haiwan sayangkan anak, manusia berhati binatang dan lain-lain lagi.
Berdasarkan kepada kes-kes contoh yang sedang dan telah berlaku, seakan ada kebenaran pada kata-kata bahawa manusia semakin hilang rasa kasih sayang. Tidak perlu pergi jauh, ambil sahaja contoh komen dan reaksi dalam hantaran media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan kumpulan WhatsApp sekarang. Hanya kerana berbeza pendapat dan bercanggah pandangan, si penghantar dikecam dan dibuli dengan penuh nista dan kebencian. Perkataan dan ayat yang digunakan kasar, jelik dan sesetengahnya jijik. Seolah-olah individu yang membuat hantaran itu telah melakukan satu kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan. Sedangkan si penghantar dan si pengulas saling tidak mengenali antara satu sama lain pun.
Sebagai contoh dalam isu seorang artis membuat keputusan untuk kembali tidak bertudung, ‘masak’ warga net mengecam artis berkenaan. Pemilihan ayat dan perkataan menakutkan dan tidak sanggup dibaca. Mujurlah artis ini kental dan nampak tabah dengan segala kecaman. Si tuan punya diri pun sudah boleh menjangka reaksi buruk yang bakal diterima kerana itu dia tidaklah nampak goyah sangat ketika dikecam.
Kalau diselidik dengan terperinci berdasarkan kepada profil media sosial masing-masing, mereka bukan orang sembarangan. Hampir kesemua ada kelulusan universiti dengan sebahagiannya pula mempunyai latar belakang pendidikan tinggi dalam bidang agama serta berkerjaya profesional. Ada doktor, jurutera, guru, ustaz, ustazah dan pegawai tinggi. Ini belum termasuk ahli-ahli politik yang dipilih oleh rakyat.
Foto-foto profil pula dipenuhi dengan gambar bersama keluarga, anak-anak, cucu-cucu, menantu-menantu, rakan-rakan dan jiran-jiran. Semuanya menggambarkan kebahagiaan hidup yang dilimpahi kasih sayang. Bagaimanapun apa yang dipamerkan kepada pengikut mereka tidak sama dengan realiti diri masing-masing. Mereka kurang rasa kasih atau rasa sayang sesama manusia. Perasan dan naluri sedemikian terbatas setakat dalam kawasan pagar rumah atau bangunan pejabat sahaja. Kasih sayang ke atas insan lain dizahirkan secara berpilih-pilih dan hanya untuk yang ada di depan mata sahaja. Kalau tidak, masakan mereka sanggup menghina, menistai, memaki hamun dan mencarut orang lain yang tidak dikenali. Apa yang dilakukan itu sudah cukup menggambarkan mereka tidak ada atau kurang naluri kasih sayang sesama insan.
Buka sahaja komen dalam media sosial dan baca. Ada sahaja yang tak kena sementelah lagi jika hantaran yang dikomen itu ada kontroversi, lantas berapi-api lagi reaksi amarah dan rasa benci. Statistik tangkapan ke atas kes-kes menghantar komen menghina dan berbaur kebencian hampir setiap minggu berlaku. Lihatlah juga berapa banyak laporan polis sudah dibuat berhubung kes-kes seumpama itu.
Sepertimana pantasnya ledakan teknologi maklumat, begitulah juga pantasnya pembiakan manusia seperti ini. Mulut mereka terkunci, tetapi jari mereka sangat pantas dan cekap ‘berkata-kata’. Ketika itu perasaan orang lain sudah tidak dipedulikan tambah lagi jika sasaran itu tidak nampak di depan mata dan berlegar di alam maya sahaja. Manusia seperti ini selesa menjalani kehidupan dengan dua personaliti berbeza di dunia maya dan di alam realiti walaupun hakikatnya itu adalah satu ‘penyakit’ dan ‘kesakitan’.
Perkembangan ini sangat membimbangkan. Wabak ini bukan lagi menyerang orang muda tetapi sudah berjangkit kepada semua peringkat umur, lelaki dan perempuan tanpa mengira latar belakang keturunan dan pendidikan. Kebencian ibarat api dalam sekam, menunggu masa untuk membakar dan terus membakar. Undang-undang penguatkuasaan berbentuk hukuman mungkin salah satu cara bagi mengekang kebencian tetapi yang lebih penting ialah individu itu sendiri. Suburkan rasa kasih dan sayang dalam diri bukan sekadar untuk keluarga, jiran dan rakan-rakan terdekat tetapi juga untuk seluruh masyarakat di luar lingkungan hidup masing-masing.
Bagaimanapun apa yang dipamerkan kepada pengikut mereka tidak sama dengan realiti diri masing-masing. Mereka kurang rasa kasih atau rasa sayang sesama manusia. Perasan dan naluri sedemikian terbatas setakat dalam kawasan pagar rumah atau bangunan pejabat sahaja. Kasih sayang ke atas insan lain dizahirkan secara berpilih-pilih.










