BEIRUT 27 Feb. – Beribu-ribu kanak-kanak yang masih ‘terperangkap’ di sebalik ‘wilayah’ kumpulan terakhir militan di timur laut Syria menunjukkan tanda-tanda tekanan psikologi.
Perkara itu didedahkan Pertubuhan Save the Children yang mengamati kehidupan kanak-kanak di kem al-Hol, sebuah kem di kawasan yang masih dikuasai Daesh di perkampungan Baghouz.
“Kanak-kanak di sana menunjukkan tanda-tanda tekanan psikologi, termasuk rasa gementar, tidak diendahkan, agresif dan mimpi buruk, terutama dalam kalangan mereka yang berusia 10 hingga 14 tahun,” jelas pertubuhan itu.
Malah jelasnya, kanak-kanak yang melarikan diri dari kawasan Daesh ‘mungkin telah menyaksikan perbuatan kejam dan hidup dalam persekitaran perang serta serba kekurangan’.
“Ramai yang mungkin memerlukan sokongan psikologi dan kesihatan mental untuk pulih daripada pengalaman buruk itu,” tegas Save the Children. – AFP











