KOTA BHARU 18 Feb. – Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Zolkharnain Abidin mengakui sebahagian besar Ahli Lembaga Pemegang Amanah badan itu termasuk beliau sendiri merupakan individu-individu yang membawa ‘pakej politik’.
Malah Pengarah Hal Ehwal Syariah Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata, selain mempunyai jawatan dalam parti, latar belakang politik beliau juga agak panjang kerana pernah bertanding empat kali dalam pilihan raya dan menang sekali daripadanya
Bagaimanapun tegasnya, sebagai barisan pengurusan tertinggi badan dakwah itu, mereka bertekad melaksanakan tugas sebaik mungkin bagi meletakkan Islam di kedudukannya tertinggi menerusi agenda ‘Rahmatan Lil Alamin’.
“Walaupun membawa pakej politik, apabila kami sampai di pintu pejabat Yadim, kami tanggalkan pakej itu, kami tidak akan bawa bersama pakej itu ketika menjalankan tanggungjawab di Yadim.
“Kita perlu membiasakan diri dengan menerima kepelbagaian dalam kehidupan. Saya dan Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz (Yang Dipertua Yadim) tidak pernah bercakap tentang politik di pejabat Yadim.
“Kami juga tidak pernah ambil tahu apakah kecenderungan politik kakitangan Yadim. Bagi saya, saya ‘beriman’ kepada ‘demokrasi, bolehkah kata begitu ustaz (bertanya kepada hadirin)?” katanya ketika program Ramah Mesra bersama Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Kelantan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Yadim Zon Timur, Mahadi Awang serta Pengerusi Maim Kelantan, Dr. Mohamad Hamzah.
Banyak pihak mengkritik keanggotaan pengurusan Yadim yang baharu apabila dikatakan menjadi ‘longgokan’ ahli politik dengan calon Amanah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Nik Omar Nik Abdul Aziz dilantik sebagai Yang Dipertuanya.
Selain Nik Omar dan Zolkharnain, 10 lagi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim juga terdiri daripada lantikan politik termasuk Ahli Dewan Udangan Negeri Paloh, Sheikh Omar Baghrib Ali yang merupakan ahli DAP.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang menjadi sasaran utama kritikan tersebut pula melabelkan pihak yang mempersoalkan tindakan beliau melantik mereka sebagai golongan yang berfikiran tidak betul.
Mengulas lanjut, Zolkharnain mengajak umat Islam tidak melihat beliau dan rakan-rakannya dengan sudut pandang politik, sebaliknya sudut pandang dakwah kerana hanya dengan pemikiran begitu Yadim dapat bekerjasama dengan semua pihak biarpun berbeza ideologi politik.
Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Yadim sedang bersiap sedia melalui penstrukturan semula berkuat kuasa 1 Mac depan dengan tagline atau slogan baharu iaitu ‘Fastabiqul Khairat’ yang bermaksud berlumba- lumba melakukan kebaikan.
“Bukan nak kata ‘tagline’ Yadim yang lama, ‘Sampaikan Daripadaku Walaupun Satu Ayat’ tidak bagus tetapi kita perlukan pembaharuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










