KUALA LUMPUR 28 Feb. – Persatuan Pengguna Jalanraya Kebangsaan meminta kerajaan mengkaji semula cadangan penetapan kadar tol percuma pada waktu bukan puncak antara pukul 11 malam sehingga 5 pagi.
Pengerusinya, Mohammad Hisham Shafie berkata, kerajaan perlu menilai kewajaran pelaksanaan cadangan itu kerana dilihat memberi manfaat kepada golongan bukan sasar.
Malah, beliau turut mempersoalkan golongan mana yang mendapat manfaat hasil pelaksanaan cadangan tersebut.
“Kebanyakan pengguna jalan raya yang menggunakan jalan raya pada waktu malam adalah pemandu kenderaan berat, ini bukan golongan sasar yang kerajaan mahu membantu. Kenderaan berat ada caj logistik, kenapa pula mereka tidak perlu bayar tol sedangkan mereka ini syarikat pengangkutan.
“Kalau mahu melaksanakan tol percuma pada waktu malam pun, mana ada majoriti rakyat bekerja pada masa itu, jika ada pukul 7 malam atau 11 malam malah mereka juga harus bertolak lebih awal dari rumah.
“Jadi, mana kewajaran itu, justeru, kerajaan harus kaji balik cadangan ini, bincangkan dengan persatuan berkaitan, jangan buat keputusan begitu sahaja sehingga golongan yang sepatutnya menerima manfaat pun tidak dapat, kita tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Online.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan menjangkakan pengambilan empat lebuh raya bertol iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART akan mengambil masa enam bulan untuk memenuhi kesemua keperluan pengawalseliaan, kewangan dan undang-undang.
Kadar tol bagi empat lebuh raya kendalian Gamuda Berhad (Gamuda) akan dihapuskan sama sekali pada waktu ‘off-peak’ (bukan waktu puncak) antara pukul 11 malam dan 5 pagi iaitu penggunaan lebuh raya adalah percuma.
Mengulas lanjut, Mohammad Hisham turut meminta kerajaan mempertimbangkan untuk mengurangkan kadar tol sekurang-kurangnya 30 hingga 50 peratus sekiranya tidak dapat menunaikan janji menghapuskan tol secara keseluruhan.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Abdul Rahman pula menyifatkan penghapusan kadar tol pada tempoh berkenaan sebagai inisiatif permulaan baik oleh kerajaan. – UTUSAN ONLINE










