KLANG – Seorang jururunding bebas dan pasangannya yang merupakan seorang pensyarah sebuah universiti swasta di negeri ini masing-masing dijatuhi denda RM3,000 dan RM2,900 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini atas tuduhan berkhalwat di sebuah pangsapuri di sini pada Ogos tahun lalu.
Jururunding berusia 67 tahun dan pensyarah, 41, itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Ali Najmi Mohd. Nordin.
Pasangan itu juga berdepan hukuman penjara selama seminggu sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Ali Najmi dalam penghakimannya, sebagai individu berpendidikan tinggi seharus tahu membezakan yang benar atau salah.
“Kamu sebagai pensyarah dipandang tinggi lebih tinggi daripada seorang guru yang memancarkan sinar (kepada anak didik kamu).
“Walau apa pun alasan kamu (sehingga ditangkap berkhalwat), matlamat tidak membenarkan cara. Jangan ulangi lagi,” jelasnya.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah pangsapuri di Taman Bayu Perdana di sini pukul 2.20 pagi pada 8 Ogos tahun lalu.
Pendakwa Syarie, Khairunnisa Razali mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 dan penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya. – K! ONLINE










