Juara remaja dunia cabar Khairul Hafiz - Utusan Malaysia

Juara remaja dunia cabar Khairul Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Feb. – Persaingan bagi merebut gelaran raja pecut dalam Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Terbuka Malaysia bulan depan, dijangka sengit dengan penyertaan juara remaja dunia, Lalu Muhammad Zohri.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk Karim Ibrahim berkata, Lalu yang merupakan juara 100 meter Kejohanan Dunia Bawah 20 tahun IAAF 2018 antara tiga atlet Indonesia yang sudah mengesahkan penyertaan mereka pada kejohanan dari 30-31 Mac depan.

Lalu mencipta kejutan besar dalam Kejohanan Remaja IAAF 2018 itu apabila meraih gelaran tersebut selepas mencatat masa 10.18s menyamai rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz Jantan yang dicipta semasa Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dua lagi wakil dari Indonesia adalah pemenang pingat perak acara 100m lari berpagar wanita pada Sukan Asia 2018, Emilia Nova dan pemenang pingat gangsa acara lompat jauh lelaki pada temasya sukan itu, Sapwaturrahman dengan rekod kebangsaan Indonesia 8.09m.

“Penyertaan Lalu sudah tentu menjadikan saingan semakin sengit bagi acara 100m lelaki dan memberi cabaran hebat kepada pelari pecut Malaysia. Pelari pecut negara (seperti Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Aqil Yasmin) mesti bersedia sepenuhnya untuk memberi tentangan kepadanya dan membuktikan kemampuan mereka.

“Saya juga berharap semua atlet kebangsaan akan menampilkan prestasi terbaik kerana kejohanan ini menjadi platform dalam persediaan menghadapi Kejohanan Olahraga Asia di Doha, Qatar, April ini, dan Kejohanan Dunia IAAF pada September depan,” kata Karim yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa penganjur kejohanan, kepada Bernama di sini hari ini.

Karim juga mengesahkan atlet negara berpangkalan di Australia, Russel Alexander Nasir Taib dijangka mengambil bahagian dalam acara 100m dan 200m, manakala pelari pecut terbaik negara masa kini, Johnathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli baru-baru ini berlepas ke Atlanta, Amerika Syarikat bagi menjalani latihan selama lapan bulan.

Menurut Karim, kira-kira 200 atlet sudah mengesahkan penyertaan pada kejohanan itu setakat ini, termasuk dari India, Kuwait, Korea Selatan, Jepun, Jordan, Maldives, Kyrgyzstan, Singapura, Filipina dan Thailand.

“Kita berharap lebih banyak lagi penyertaan sebelum tarikh tutup pendaftaran pada 10 Mac ini,” katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN