KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menafikan terdapatnya pertambahan kamera Automated Awareness Safety System (Awas) di beberapa lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan seperti yang tular di media sosial.
JPJ melalui satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa tiada pemasangan kamera baharu dalam jangka masa terdekat ini seperti yang didakwa pihak-pihak tertentu.
“Sehingga kini, jumlah kamera Awas yang telah dipasang adalah sebanyak 45 buah di beberapa lokasi seluruh negara yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju serta gagal mematuhi lampu isyarat merah.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai dan menyebarkan berita yang tidak benar sebelum mendapatkan kesahihan daripada sumber yang betul,” ujar kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan itu, sebarang maklumat berkaitan lokasi kamera Awas telah dikemaskini di laman web www.jpj.gov.my dan sebarang maklumat baharu akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
Terdahulu, satu senarai telah tular di media sosial serta aplikasi Whatsapp yang memaparkan lokasi pemasangan 26 buah kamera Awas baharu di beberapa lokasi di seluruh Lebuh Raya Plus dari arah Utara menuju ke Tengah Selatan (Rawang). Bagaimanapun, pertambahan kamera tersebut disahkan palsu oleh JPJ. – K! ONLINE











