JAKARTA 7 Feb. – Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) yang mempertahankan jawatannya dalam pilihan raya Presiden (Pilpres) dilihat kini lebih garang dan sering menyerang pihak lawan.
Hal itu dapat dilihat dalam beberapa kenyataan yang dibuat oleh Jokowi ketika berucap termasuk isu berhubung dakwaan calon Pilpres yang merupakan lawannya, Prabowo Subianto tentang penggunaan konsultasi politik asing dan propaganda Rusia.
Penganalisis politik, Pangi Syarwi Chaniago berkata, Jokowi tidak menggunakan strategi ‘melawan’ pada Pilpres 2014 dan keadaan itu berbeza kini.
“Jokowi kini dilihat berbeza berbanding dulu mungkin kerana ketika itu beliau belum mempunyai janji terhadap rakyat,” katanya kepada portal berita Republika.
Selain itu Pangi Syarwi menyatakan, personaliti Jokowi yang sederhana dan tenang menghadapi fitnah menjadikan beliau berjaya dipilih sebagai Presiden pada 2014.
Jelasnya, Jokowi hari ini bukanlah Jokowi yang dahulu kerana mungkin terlalu terikut-ikut dengan rentak lawannya, Prabowo.
“Jokowi hari ini dilihat seperti tidak mempunyai cara tersendiri untuk menarik perhatian rakyat, sebaliknya bersikap lebih garang dan melawan.
“Jokowi dan pasukannya tidak seharusnya melawan balik apabila mereka difitnah dengan pelbagai berita serta maklumat palsu dan jika melakukan sedemikian, beliau harus menjawab dengan matang dan positif,” katanya.
Sehubungan itu, Pangi Syarwi menggesa supaya Jokowi fokus semula terhadap kejayaan serta kebolehannya mentadbir Indonesia bagi meraih sokongan rakyat.
Penganalisis politik itu juga memaklumkan ‘sikap baharu’ Jokowi itu juga mungkin disebabkan beliau berasa terancam dan cenderung melancarkan serangan kepada pihak lawan menjelang hari pengundian.
“Jokowi mungkin sudah tidak tahan kerana sudah empat tahun beliau difitnah sepanjang jadi Presiden Indonesia sehingga beliau bertindak lebih agresif bagi membela dirinya,” tambahnya.
Sementara itu, pasukan kempen Jokowi dan Ma’ruf Amin menjelaskan, pihaknya mula menjalankan kempen yang bersifat menyerang dengan menggunakan data dan fakta.










