JAKARTA 16 Feb. – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bukalapak, Achmad Zaky mencetuskan kemarahan dalam kalangan penyokong Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.
Tribunnews melaporkan, kemarahan itu tercetus selepas Achmad memuat naik kicauan mengenai Presiden baharu di Twitter.
Dalam kicauannya, Achmad menulis: “Omong kosong industri 4.0 kalau bajet penyelidikan dan pembangunan kita banyak seperti ini (2016, dalam USD) Amerika Syarikat (AS) 511 billion 2. China 451 bilion 3. Jepun 165 bilion 4. Jerman 118 bilion 5. Korea 91 bilion 11. Taiwan 33 bilion 14. Australia 23 bilion 24 Malaysia 10 bilion 25. Singapura 10 bilion 43. Indonesia 2 bilion. Semoga Presiden baharu akan menang”.
Namun, kicauan berkenaan menjadi subjek perbincangan dalam Twitter sejak kelmarin.
Sekumpulan penyokong Jokowi yang berang dengan kicauan berkenaan membuat gerakan #uninstallbukalapak.
Bukalapak merupakan platform pembelian barang-barangan seperti peralatan elektrik, baju dan sebagainya secara atas talian.
Achmad kemudiannya meminta maaf sekiranya kicauannya itu mengundang salah faham kerana kicauan tersebut bertujuan mengajak orang ramai membangunkan Indonesia menerusi penyelidikan dan pembangunan saintifik.
Sementara itu, Jokowi meminta gerakan #uninstallbukalapak dihentikan dan menegaskan beliau menyokong penuh anak-anak muda seperti Achmad untuk berinovasi.
Jokowi berkata, beliau tidak tersinggung dengan kicauan tersebut dan sudah memaafkan CEO berkenaan. – AGENSI










