KUALA LUMPUR 26 Feb.- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) bagi menganjurkan seminar berhubung prosedur penyiasatan maritim.
Timbalan Pengarah Bahagian Penyelarasan dan Penguatkuasaan, Laksamana Muda Maritim, Datuk Mohd. Aliyas Hamdan berkata, seminar tersebut akan diberi pendedahan serta pemahaman menyeluruh berkaitan isu keselamatan dalam kalangan komuniti maritim antarabangsa.
Menurutnya, usaha itu dapat dicapai dengan mewujudkan nilai profesional apabila terlibat dalam penyiasatan jenayah maritim.
“Itu adalah usaha dalam membentuk pemahaman sejagat melibatkan jenayah maritim yang kini semakin kompleks untuk ditangani.
“Peserta akan didedahkan tentang ilmu dan prosedur yang betul dalam menganalisis bahan bukti selain dilatih tentang teknik pengumpulan bukti yang betul, teknik pensampelan dan fotografi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan, Kapten Toshiya Hayama berkata, pihaknya menyokong hasrat Maritim Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai hub latihan Maritim ASEAN.
Menurutnya, ini termasuk kemungkinan kerjasama tentang pembangunan sumber manusia untuk keamanan dan keselamatan Maritim ASEAN dalam mempromosikan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) sebagai pusat latihan serantau.- UTUSAN ONLINE










