KUALA NERANG 8 Feb. – Jenazah tiga sekeluarga yang mati lemas ketika berkelah di Sungai Pedu, Kampung Bukit Sena, di sini selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.
Jenazah Mohamad Ramli Ibrahim, 65; Nur Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan adiknya, Nor Sariza Hafiza, 14, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Tong Pelu, kira-kira pukul 12.30 tengah malam ini.
Terdahulu, jenazah mereka disembahyangkan di Masjid Jamiul Khir Tong Pelu, di sini selepas menjalani proses bedah siasat di Hospital Kuala Nerang.
Dianggarkan kira-kira 1,000 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara, penduduk kampung dan kenalan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah tiga sekeluarga itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 petang itu, perkelahan mereka berakhir dengan tragedi apabila dua beradik terbabit lemas dihanyutkan arus deras.
Mohamad Ramli yang ketika itu berada di tebing sungai bertindak terjun untuk menyelamatkan cucunya, manakala seorang lagi mangsa yang juga rakan dua beradik itu sempat diselamatkan penduduk kampung yang menyedari kejadian itu.
Mayat Nor Sariza ditemukan pada pukul 2.26 petang kira-kira 50 meter daripada lokasi mereka dipercayai lemas sebelum kakaknya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira dua jam kemudian. -UTUSAN ONLINE










