'Jangan padam, pukul bomba' - Utusan Malaysia

‘Jangan padam, pukul bomba’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 14 Feb. – Saksi ketujuh inkues kematian Muhammad Adib Mohd. Kassim hari ini memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa dia mendengar teriakan sekumpulan lelaki yang menyerang jentera Fire Rescue Tender (FRT) supaya memukul anggota bomba.

Anggota pemadaman, Mohd.Sharol Anuar Kamarudin, 27, berkata, setibanya di lokasi kejadian, dia terus terjun untuk memadamkan kebakaran kereta.

Namun katanya, sejurus turun daripada kenderaan FRT, dia melihat tiga lelaki memakai topi keledar meluru ke arahnya dengan memegang batang besi dan objek panjang seakan-akan pedang samurai, sementara sekumpulan lagi di belakang semua individu tersebut menuju ke arahnya.

“Saya tergamam ketika itu dan terdengar mereka menjerit ‘jangan padam, pukul bomba’. Menyedari terasa terancam, saya yang ketika itu memegang pintu pada tangan kanan terus menaiki semula jentera FRT.

“Apabila saya menaiki jentera, saya hanya duduk seketika di bahagian tepi dan terdengar serangan. Saya yang ketakutan, terus mengubah kedudukan di bahagian tengah sebelum kenderaan ini terus mengundur bagi mengelakkan daripada terus diserang,” katanya.

Mohd. Sharol berkata demikian di hadapan Koroner Rofiah Mohamad selepas menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah.

Terdahulu , Mahkamah Koroner yang bersambung pada pukul 2.45 petang akan menyambung prosiding inkues esok pada pukul 9 pagi dengan memanggil dua saksi awam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN