KUALA LUMPUR 14 Feb. – Umat Islam tidak sepatutnya melakukan sebarang perkara yang boleh mendatangkan fitnah atau keraguan termasuk menerima tajaan ke luar negara membabitkan syarikat perjudian.
Sehubungan itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Puzi Harun perlu memberi penjelasan secara terperinci berhubung lawatan ke Turki yang didakwa dibiayai syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai.
Malah katanya, pembiayaan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan umat Islam sama ada sumber yang diberikan syarikat berkenaan daripada hasil perjudian atau sumber perniagaan lain.
“Dalam Islam kaedah yang pertama adalah niat, cara dan matlamat. Ketiga-tiga mesti selaras dan tidak berlawan dengan syarak. Sebagai contoh seseorang itu ada matlamat dan niat yang baik, tetapi menggunakan duit hasil judi, itu salah.
“Tetapi jika menggunakan sumber bersih daripada perniagaan lain walaupun tajaan syarikat judi, itu hukumnya harus. Oleh itu, Mohamad Puzi perlu jelaskan keadaan sebenar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin , Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kunjungan Mohamad Fuzi bersama pegawainya ke Turki bukan untuk tujuan peribadi kerana ditaja oleh Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia bagi memberi pendedahan kepada pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) belajar cara membanteras judi haram dari negara lain.
Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menegaskan, kementeriannya tidak pernah meluluskan lawatan itu sebaliknya Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia yang merupakan syarikat di bawah kementerian tersebut manakala sumber kewangan lawatan berkenaan ditaja oleh Da Ma Cai.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, umat Islam perlu meneliti secara terperinci setiap sumber tajaan bagi mengelakkan daripada menyalahi agama dan kesan-kesan lain.
“Kita perlu mendapat penjelasan terperinci daripada mana sumber tersebut datang walaupun niatnya betul dan mengikut segala hukum syarak,” ujarnya.










