JOHOR BAHRU 10 Feb. – Pantun sindiran orang lama UMNO, Tan Sri Sharir Abdul Samad dipercayai ditujukan kepada Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berhubung isu ijazah palsu membuatkan beberapa pengguna laman sosial turut berpantun.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu dalam Facebook miliknya, Sharir Samad – Tok Uban hari ini memuat naik pantun dan berita berhubung tindakan Osman yang melarikan diri daripada pihak media semalam apabila diminta komen mengenai dakwaan ke atasnya.
Pantun Sharir itu berbunyi:
Kalau padi, katakan padi,
Tidak hamba tertampi-tampi,
Kalau tak ori, katakan tak ori,
Tidak hamba ternanti-nanti.
Ekoran itu, beberapa pengguna Facebook turut berpantun dalam ruangan komen Facebook Sharir antaranya pemilik akaun pemilik akaun El Yunus dengan pantun:
Rambut nipis otak tepu,
Mendokong si anak yang bongsu,
Hanya senyum saja mampu,
Senyum tanda sijil palsu.
Pantun pemilik akaun Wanzul ZY pula berbunyi:
Anak ayam terkedek-kedek,
Anak gajah jalan tempang,
Patutlah nampak tak cerdik,
Cakap pun macam cempelang.
Seorang lagi pemilik akaun Ez Ar berpantun:
Kalau padi, katakan padi,
Tidak saya ternanti-nanti,
Kenapalah jadi bangang begini,
Wahai MB Johor menyakitkan hati.
Satu jam selepas itu, Shahrir memuat naik satu gambar sebuah kapal terbang Air Asia yang tertera Universiti Putra Malaysia dengan entri berbunyi, kapal terbang UPM tiba di Senai, Johor. Asalkan bukan ijazah terbang, ok kot. – UTUSAN ONLINE










