Isu RM90j: Pas tidak tertekan - Utusan Malaysia

Isu RM90j: Pas tidak tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Feb. – Pas bersedia untuk menzahirkan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima RM90 juta yang dima­sukkan ke dalam akaun beberapa pemimpin parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya juga memberi jaminan akan menye­rahkan segala dokumen milik Pas sekiranya diminta SPRM untuk tujuan siasatan tersebut.

TAKIYUDDIN HASSAN
TAKIYUDDIN HASSAN 

“Pas dengan ini memberi aku janji untuk menyatakan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan kononnya menerima wang yang disyaki daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Pas juga akan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan termasuk penyata akaun bank Pas pusat bagi membuktikan dakwaan bahawa Pas menerima dana itu adalah tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, SPRM akan membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu berdasarkan kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan kepada suruhanjaya berkenaan selain akan memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Takiyuddin berkata, Pas juga mengalu-alukan dan menggesa mana-mana pihak yang kononnya mempunyai maklumat tentang dakwaan terbabit dengan penuh bertanggungjawab serta integriti tampil menamakan secara terperinci.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, parti tersebut tidak berasa tertekan dengan siasatan SPRM bagi kes berkenaan.

Katanya, malah mengalu-alukan agensi berkenaan menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

“Pas tertekan? Tidak. Selamat datang SPRM. Semua tahu, semakin Pas berkuasa, semakin berkuasalah SPRM,” katanya menerusi akaun Twitter milik beliau hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN