Israel ancam persekolahan Palestin - Utusan Malaysia

Israel ancam persekolahan Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS 31 Jan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan campur tangan Israel dalam sistem persekolahan penduduk Palestin.

PBB yang diwakili tiga pegawainya iaitu Penyelaras Bersama Kemanusiaan, Jamie McGoldrick, wakil khas Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Genevieve Boutin dan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menerusi kenyataan bersama menjelaskan bahawa, keadaan itu berlarutan sejak sesi persekolahan di Tebing Barat bermula tahun lalu.

AKSES PENDIDIKAN SEMAKIN SUKAR

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata kenyataan itu, campur tangan Israel dalam kegiatan persekolahan secara tidak langsung memberi kesan terhadap akses kanak-kanak Palestin untuk mendapatkan pendidikan.

“Antara yang dilakukan Israel termasuk mengancam untuk merobohkan sekolah, pertempuran antara pelajar dengan anggota tentera Israel dan guru-guru ditahan di pos pemeriksaan mewujudkan suasana tidak selamat untuk kanak-kanak mendapatkan ilmu yang berkualiti,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan yang dipetik agensi berita Wafa sebagai berkata, bermula Januari hingga Disember 2018, PBB merekodkan seba­nyak 11 insiden campur tangan Israel dalam sistem pendidikan di Tebing Barat, sekali gus menjejaskan kira-kira 19,196 pelajar.

CETUS KEKACAUAN

Secara purata, tentera Israel melakukan lebih daripada dua ‘kekacauan’ dalam tempoh setiap minggu dan kebanyakan insiden melibatkan penggunaan peluru hidup, gas pemedih mata dan membaling bom ke arah sekolah.

Keadaan itu juga mencederakan pelajar dan menyebabkan mereka trauma untuk datang ke sekolah.

Selain itu, hampir dua per tiga insiden campur tangan yang berlaku di semua sekolah di Tebing Barat berlaku dalam tempoh empat bulan terakhir tahun 2018.

DIPAKSA TUTUP

Tambah kenyataan itu, setakat ini, kira-kira 50 buah sekolah di Tebing Barat termasuk di Timur Baitulmuqaddis berdepan ancaman dirobohkan.

Pada 2018, sebanyak lima sekolah di tebing Barat dirobohkan serta dirampas oleh pihak berkuasa Israel, selain sebuah sekolah menengah lelaki berhampiran Nablus juga pernah dipaksa tutup dua kali susulan insiden pertempuran dan ada pelajar ce­dera terkena peluru.

Di sekitar kawasan H2 di Hebron, gas pemedih mata sering dilepaskan di kawasan sekolah, menyaksikan lebih 20 insiden direkodkan berlaku sepanjang 2018.

Sementara itu, kenyataan tersebut mendedahkan bahawa ketika aktiviti ketenteraan dilakukan pada 11 hingga 13 November tahun lalu, beberapa buah sekolah di Gaza dan di selatan Israel ditutup selama sekurang-kurangnya sehari termasuk empat tadika kerana mengalami kerosakan teruk.

HORMATI INSTITUSI PENDIDIKAN

Tegas kenyataan itu, sekolah seharusnya dihormati sebagai tempat mencurah ilmu, ke­selamatan dan kestabilan.

Sekolah sepatutnya bebas daripada sebarang konflik yang boleh membahayakan nyawa pelajar kerana kelas adalah tempat untuk pelajar menjadi rakyat yang maju serta berwawasan.

“Pelajar tidak seharusnya dijadikan sasaran keganasan dan mereka juga tidak boleh didedahkan dengan perkara-perkara merosakkan,” ujar kenyataan tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini