SAN FRANCISCO 8 Feb. – Instagram mengumumkan untuk menyekat gambar mencederakan diri selepas seorang remaja Britain yang membaca mengenai bunuh diri secara online meragut nyawa sendiri.
Platform perkongsian gambar milik Facebook itu membuat keputusan tersebut selepas mesyuarat antara Ketua Globalnya, Adam Mosseri dan Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock.
Kini, instagram akan menghapuskan pencarian dan cadangan bagi kandungan bukan grafik berkaitan mencederakan diri sendiri.
Selain itu, Instagram juga mengharamkan penggunaan hashtag berkaitan mencederakan diri.
Pada 2017, remaja Britain, Molly Russel, 14, membunuh diri dalam bilik dengan sejarah media sosialnya mendedahkan dia mengikuti akaun berkaitan kemuruman dan bunuh diri. – AFP










