Inovasi busana tradisional Raja Permaisuri Agong - Utusan Malaysia

Inovasi busana tradisional Raja Permaisuri Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 31 Januari 2019, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah secara rasmi telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Tarikh keramat ini juga secara rasmi mengangkat Tunku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj sebagai Raja Permaisuri Agong yang baharu.

Raja Permaisuri Agong amat dikenali sebagai seorang permaisuri berjiwa rakyat di Pahang dan pencinta warisan budaya tempatan peringkat nasional.

Ini sekali gus meletakkan Seri Paduka sebagai model pakaian Islam tempatan yang elegan bagi setiap wanita Islam di negara ini. Konsep pakaian yang Seri Paduka gayakan menjadi sebutan ramai.

Busana yang diperkenalkan menjadi identiti dan sangat sinonim dengan Seri Paduka. Tunku Azizah memperkemaskan dan memperkukuhkan lagi konsep baju kurung dengan memperkenalkan kain selendang penutup bahagian atas baju kurung yang digayakan.

TUNKU AZIZAH AMINAH MAIMUNAH ISKANDARIAH BINTI AL-MARHUM AL-MUTAWAKKIL ALALLAH SULTAN ISKANDAR AL-HA
TUNKU AZIZAH 

Kain berwarna polos yang digunakan tidak tebal malah ia memberikan sentuhan yang lebih manis dan elegan sesuai dengan peranan Seri Paduka selaku Raja Permaisuri Agong.

Gandingan baju kurung moden yang diperbuat daripada kain songket bercorak penuh berwarna biru muda, tudung biru muda dan kain chiffon dengan rona warna yang sama nampak sangat sesuai dengan penampilan sebagai Raja Permaisuri Agong sewaktu majlis angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.

Walaupun meletakkan kain selendang chiffon di atas baju, ia masih memperlihatkan keindahan perincian baju kurung moden yang diberikan suntikan sulaman pada bahagian kaki baju dan hujung lengan baju.

Seutas kalung permata, sebutir kerongsang permata dan sebutir pingat yang disemat di atas kain selendang chiffon nampak lebih menonjol dan kemas. Sesuai dengan perwatakan Seri Paduka yang tegas dan mementingkan kesempurnaan dalam setiap kerja dilakukan.

Tunku Azizah mula menggayakan konsep pakaian ini dalam beberapa majlis rasmi sejak beberapa tahun lalu. Seri Paduka menggunakan sehelai selendang chiffon yang dililit menutupi bahagian badan dan dikemaskan dengan sebutir kerongsang di atas bahu baju.

Selendang chiffon ini turut ‘mengaburi’ barangan perhiasan yang digunakan oleh Seri Paduka seperti kalung permata dan sebagainya. Ia sekali gus membawa mesej kesederhanaan dan tidak terlalu menunjuk-menunjuk kemewahan yang dimiliki.

Inovasi pakaian diketengahkan oleh Raja Permaisuri Agong ini boleh dikaitkan dengan firman Allah yang mengingatkan wanita agar bersederhana maksudnya: “Jangan menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya…dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan…”. (An-Nur: 31)

Inovasi pakaian ini juga menepati konsep budaya Melayu tradisional, syariat dijunjung, budaya dikendong. Konsep ini mengembalikan nostalgia pemakaian selendang yang pernah digunakan dalam busana wanita Melayu pada zaman dahulu.

Baju kurung mempunyai konsep selari dengan syariat Islam yang menjadi pegangan umat Islam di Alam Melayu terutama di Malaysia. Ia merupakan satu hasil kreativiti pemikiran golongan wanita Melayu beragama Islam terdahulu.

Potongan baju kurung yang mempunyai pesak dilihat memberi lebih banyak ruang kepada pakaian supaya lebih selesa dipakai dalam iklim tempatan yang panas dan lembab sepanjang tahun.

Menurut syariat Islam, pakaian wanita perlu menutup keseluruhan bahagian badannya. Menutup secara literal dan secara simbolik iaitu tidak ketat dan tidak jarang.

Secara ringkasnya, potongan baju kurung moden ialah potongan baju yang tidak mempunyai pesak. Tanpa pesak, baju kurung moden tampak lebih menonjolkan bentuk badan.

Oleh itu, konsep yang diperkenalkan oleh Raja Permaisuri Agong dengan menggunakan kain selendang nipis sebagai penutup bahagian atas baju dapat memberikan pilihan citarasa wanita untuk menggayakan baju kurung moden dengan elegan dan dalam masa sama tidak memperlihatkan potongan badan yang ketara.

INOVASI kurung Melayu tradisional disarungkan Tunku Azizah selari dengan konsep syariat dijunjung, b
INOVASI kurung Melayu tradisional disarungkan Tunku Azizah selari dengan konsep syariat dijunjung.

Potongan baju kurung tradisional dan baju kurung moden digunakan dalam hampir semua aktiviti harian wanita. Jika pada zaman dahulu ia dilihat sebagai baju yang dipakai oleh wanita kampung, namun pada hari ini baju kurung digunakan oleh majoriti pekerja wanita profesional di Malaysia termasuk dalam sektor kerajaan mahupun swasta sehingga peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×