Inkues Adib: Kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba - Saksi - Utusan Malaysia

Inkues Adib: Kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Saksi kesembilan prosiding hari keenam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ada kesan lebam pada rusuk kanan anggota bomba itu.

R. Naresh, 30, berkata, kesan itu jelas dilihat pada bahagian luar rusuk kanan anggota bomba itu kerana berwarna merah.

“Bila tengok merah, saya ingat ada pendarahan dan saya terus bersiap sedia dengan mengambil baju anggota bomba untuk diikat pada badannya.

“Bagaimanapun, muka dan tangannya cedera tetapi tiada pendarahan pada telinga serta hidung mangsa,” katanya ketika menjawab soalan Pegawai Pendakwa Hamdan Hamzah dihadapan Koroner Rofiah Mohamad sebentar tadi.

Jelasnya, dia kemudian ternampak ada kesan tapak kasut pada bahagian rusuk kanan anggota itu.

“Ketika itu, saya bersama seorang lagi menaiki pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm membawa anggota bomba ke hospital.

“Saya cuba memeriksanya dengan mendekatkan muka saya pada badannya dan ternampak kesan tapak kasut sebesar satu jengkal sebelum saya lap kesan itu lalu hilang,” ujarnya.

Pada masa sama, dia memberitahu, keadaan nadi anggota bomba itu turun naik sambil matanya sudah tertutup.

“Sepanjang perjalanan menghantarnya ke hospital, dia juga tidak memberikan sebarang respon tetapi saya terus memberinya sokongan moral,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN