PUTRAJAYA 8 Feb.- Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa tidak dimaklumkan bahawa beliau hari ini perlu hadir memberi keterangan berkaitan dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.

Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beliau tidak akan hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.
“SPRM langsung tidak maklumkan bahawa saya perlu hadir memberi keterangan hari ini. Oleh itu laporan di sesetengah media bahawa saya akan hadir ke SPRM hari ini adalah tidak benar.
“Walau bagaimanapun saya bersedia untuk membantu siasatan jika SPRM membuat appointment (temujanji) untuk memberi keterangan melibatkan dakwaan ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beberapa media hari ini melaporkan, nama Husam antara tiga nama individu yang dipanggil memberikan keterangan kepada SPRM berhubung dakwaan RM90 juta dimasukkan ke dalam akaun pemimpin Pas.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr. Nasharudin Mat Isa dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing telah hadir memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM di sini dan pejabat SPRM Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan tiga ahli politik dijangka hadir ke SPRM hari ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan RM90 juta disyaki daripada 1Malaysian Development Berhad (IMDB) dikatakan dimasukkan ke akaun beberapa pemimpin Pas.
Sebelum ini, dilaporkan individu-individu berkaitan akan dipanggil serta beberapa dokumen diteliti SPRM berhubung dakwaan kemasukan RM90 juta ke dalam akaun pemimpin Pas.
Siasatan dibuat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
SPRM dalam satu kenyataannya turut mengesahkan telah menerima laporan dan akan memulakan siasatan mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
Pas turut mengumumkan pihaknya sedia menyerahkan semua dokumen kewangannya untuk membantu siasatan SPRM dan dokumen-dokumen itu akan membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, dusta dan fitnah semata-mata.-UTUSAN ONLINE










