HADIAH Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) edisi ke-33, kini menghampiri kemuncaknya hari ini apabila majlis gilang gemilang bertemakan Kesultanan Melayu yang diadakan di Dewan Besar Utusan Melayu, bakal menobatkan 37 anugerah meliputi enam kategori iaitu cerpen media baharu, cerpen remaja, cerpen umum, puisi, rencana sastera dan novel remaja.
Tambah istimewa, HSKU edisi ke-33, yang disambut bersempena 80 tahun Utusan Melayu bakal dihadiri 1,500 tetamu, sasterawan negara, penggiat seni, ahli persatuan penulis seperti Persatuan Penulis Nasional (Pena) dan ahli-ahli Gabungan Penulis Nasional (Gapena) selain turut dimeriahkan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang akan tampil dengan lagu hitnya, Anta Pernama.
Situasi gawat dunia sastera ini diakui oleh Presiden Persatuan Sasterawan Melayu Raya (Numera), Datuk Dr. Ahmad Khamal Abdullah atau Kemala yang turut merasakan sastera Melayu dianaktirikan dan sastera kian terpinggir oleh elit yang memerintah.
Kehadiran Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyempurnakan HSKU kali ini, pastinya amat ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat sastera, sasterawan, karyawan, penulis dan penggiat seni, budaya dan sastera tanah air. Ketokohan Anwar sebagai ‘orang sastera’ diletakkan 1,001 harapan yang menggunung bagi menghidupkan semula usaha-usaha untuk menjaga kebajikan penulis dan sasterawan tempatan selain bagi merancakkan semula kelesuan dunia sastera sekarang yang kian terasa.
Anwar sebagai seorang tokoh yang dekat dengan dunia sastera pernah menyatakan dalam bukunya Menangani Perubahan (1989), sesungguhnya bahasa, sastera dan budaya merupakan wadah mengungkapkan pemikiran seluruh anggota masyarakat yang menjadi ‘milieu’ pada sesuatu batasan geografi.
“Sekiranya sastera menjadi wadah mengungkapkan pemikiran masyarakat, maka peranan sasterawan sebagai penggerak sosial dan bagi mencelikkan masyarakat tentang budaya haruslah diterima. Ini berbeza dengan sastera picisan karya yang cenderung dengan fitnah dan gosip mirip sastera bohemian.” (Anwar Ibrahim: 1989: 108).
Menurut Anwar lagi, mungkin benar bahawa tahap pencapaian sasterawan negara kita mungkin tidak sama dengan pengarang-pengarang terkenal dunia lain dari segi prasarana, pengiktirafan, nilai ekonomi bahkan tradisi editor sastera yang menyemak karya sebelum diterbitkan kerana belum bertapak tegap. Namun begitu katanya, karya-karya tersebut ada kekuatannya yang tersendiri.
“Tunggul-Tunggul Gerigis karya Shahnon Ahmad memaparkan kepincangan dalam masyarakat desa sebagai akibat perbezaan fahaman politik. Trilogi Arena Wati berjaya membahaskan persoalan pertembungan budaya dan berjaya membawa manusia Melayu dalam kancah kehidupan di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
“Begitu juga keistimewaan A. Samad Said menyingkap pengalaman wartawan dalam Hujan Pagi dan Keris Mas mengenai kepura-puraan dan pergelutan masyarakat kota raya dalam Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Sajak-sajak Usman Awang tetap menyegarkan dan mengusik perasaan.” (Anwar Ibrahim 1989: 107).
80 Tahun Utusan Melayu
HSKU edisi ke-33 kali ini juga tambah meriah apabila disambut bersempena dengan ulang tahun Ke-80 kelahiran Utusan Melayu sejak ia diterbitkan di Queen Street, Singapura.
Pengasas, Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Utusan Melayu, Yusof Ishak pernah menyatakan, perjuangan Utusan berdasarkan tiga sendi utama iaitu ‘Agama Islam, Kebangsaan dan Tanah Air’.
“Kami yang bekerja sebagai pengarah-pengarah dan kakitangan Utusan Melayu adalah hamba kepada bangsa Melayu yang menjalankan tugas bagi meninggikan mutu agama, bangsa dan tanah air,” tegas Yusof Ishak semasa berucap dalam majlis pembukaan rasmi pejabat Utusan Melayu, Jalan Chan Sow Lin pada 5 Februari 1958.
Yusof tetap mempertahankan kelangsungan Utusan Melayu sebagai sebuah akhbar yang berjuang kerana ketinggian agama, bangsa dan negara dan pada masa sama, beliau merasakan Utusan Melayu mempunyai tanggungjawab besar sebagai akhbar yang dapat menyalurkan pendapat umum dengan bebas dan tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan ideologi.
“Kami sentiasa berpegang kepada tiga dasar yang telah saya sebutkan tadi iaitu menegak dan meninggikan mutu agama Islam yang maha suci, bangsa Melayu dan tanah air dan dengan pertolongan Allah serta hidayah-Nya kami akan terus berjuang menurut lunas dasar inilah,” kata Yusof Ishak.
HSKU harungi lebih tiga dekad
Menyelusur sejarah lebih tiga dekad penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), sayembara ini bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan remaja melahirkan karya-karya bermutu tinggi dalam genre novel, cerpen, puisi dan esei kritikan sastera.
Ketua Pengarang Bahagian Majalah Utusan Melayu era 1980-an, Datuk Osman Abadi telah mencadangkan supaya diadakan Hadiah Sastera Utusan bagi mengiktiraf bakat-bakat baharu penulis tanah air yang disusuli rundingan awal pada 24 Disember 1984.
Mesyuarat pertama Osman Abadi dengan Pengarah Perhubungan Awam Public Bank, Senator Datuk Dr. Nordin Selat telah diadakan bagi membincangkan kerjasama bagi mewujudkan hadiah sastera tersebut.
Tujuan awal mengadakan hadiah sastera Utusan adalah untuk meningkatkan prestasi majalah Mastika dan Wanita terbitan Kumpulan Utusan dan prestasi Public Bank sebagai institusi yang turut membantu perkembangan sastera nasional. Resolusinya, Utusan Melayu dan Public Bank bersetuju mengadakan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank bermula 1985.
HSKU bemula dengan kategori cerpen dan sajak serta cerpen remaja pada 1986, novel remaja (1988), kajian dan rencana sastera (2000) dan serta puisi pada 2002.










