LONDON 1 Feb. – Penyokong Chelsea tidak gembira dengan prestasi awal yang ditunjukkan Gozalo Higuain dalam Liga Perdana Inggeris hingga menggelar penyerang Argentina itu sebagai Alvaro Morata versi gemuk dan berjambang.
Higuan, 31, mengharungi musim cemerlang bersama Napoli (2013-2016) tetapi gagal mengulangi prestasi baiknya sebaik sahaja menyertai Juventus pada 2016.
Dia kemudian dipinjamkan kepada AC Milan, sebelum berhijrah ke Chelsea juga secara pinjaman bagi menggantikan Morata yang kembali ke Atletico Madrid.
Bintang Argentina itu bukan sahaja gagal melakukan sebarang percubaan pada penampilan sulungnya dalam kancah Liga Perdana, malah pasukan baharunya dimalukan 4-0 oleh Bournemouth, kelmarin.
Keadaan itu membuatkan penyokong yang berang bertindak menyerang Higuain dalam media sosial kerana pemain tersebut juga gagal menampilkan aksi terbaik ketika membuat penampilan pertama dalam Piala FA menentang Sheffield Wednesday, Rabu lalu.
Perlawanan itu berkesudahan 3-0 namun Higuain atau nama samarannya Pipita gagal mencatat sebarang jaringan, tidak seperti penggantinya di Milan, Krzystof Piatek yang meledak gol sewaktu berdepan Napoli dalam Coppa Italia.
“Higuain hanya Morata yang gemuk dan berjambang…,” tulis pemilik akaun Twitter, HANIF.
“Higuain satu lagi perkara mengarut,” kata William Stenhouse pula.
“Gonzalo Higuain dalam 45 minit pertama Liga Perdana. Jumlah percubaan:0, ditangkap ofsaid: 2,” tulis Footy Accumulators.
Twitter Goal India juga mempersendakan penyerang Argentina itu dengan memuat naik kartun Higuain dalam kiub ais.
Di bawah gambar itu disertakan keterangan: “Penampilan sulung Gonzalo Higuain dalam Liga Perdana tidak berjalan seperti diharapkan kerana terlalu sejuk dan malam malapetaka Chelsea”. – AGENSI











