LONDON – Kemenangan 3-0 Tottenham Hotspur ke atas Borussia Dortmund dalam aksi pertama peringkat kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi semalam menyaksikan kejayaan ke-13 buat kelab London itu hasil sumbangan Son Heung-min, sekali gus memberi kelegaan buat pengurusnya, Mauricio Pochettino.
Heung-min meledakkan gol dalam perlawanan keempat berturut-turutnya ketika membantu Spurs mendominasi pertemuan pertama di Stadium Wembley itu.
Dua gol lagi disumbangkan hasil sentuhan Jan Vertonghen dan Fernando Llorente.
Selepas kehilangan Harry Kane dan Dele Alli, fokus kini mula terarah kepada Heung-min yang memikul tanggungjawab besar untuk pasukan Spurs.
Pochettino juga memuji aksi pemain berusia 26 tahun tersebut yang sering menjadi penyumbang utama dalam kemenangan pasukannya.
“Selepas ini jika Son menjaringkan gol, saya akan terus ke bilik persalinan dan terus mandi sementara menunggu perlawanan tamat.
“Son terus melakukan kejutan bersama pasukan ini kerana kehadirannya pasti akan menyumbang sesuatu yang berharga buat Spurs.
“Dia sentiasa tersenyum dan menterjemahkan kehebatannya di atas padang. Sejujurnya saya sangat gembira dengan aksi Son,” kata Pochettino.
Bagaimanapun, Pochettino mengakui kejayaan tersebut bukan berpunca daripada Son sahaja, sebaliknya turut memuji aksi pemain-pemainnya yang lain.
“Kini saya sangat berbangga kerana semua pemain dalam pasukan ini telah menjadi hero apabila berada di atas padang. Ia merupakan kejayaan yang mengagumkan dan semua pemain wajar diberikan pujian atas usaha mereka sendiri.
“Untuk bermain dengan jadual yang padat ini, saya perlu memuji kesungguhan mereka kerana bukan mudah untuk meneruskan momentum kemenangan dalam jadual yang padat,” katanya. – Agensi.










