KLANG – Keghairahan 14 gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing melayan pelanggan mereka terbantut apabila dua buah pub sekitar daerah ini diserbu, malam tadi.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Selangor bermula pukul 11 malam.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, serbuan dilakukan hasil risikan pihaknya yang mendapati dua buah kelab malam di Bandar Bukit Tinggi 1 dan Taman Bayu Tinggi itu didapati beroperasi tanpa lesen yang sah.
Katanya, mereka juga menjadikan GRO warga asing sebagai pelaris bagi menarik pelanggan berkunjung ke kelab malam itu.
“Siasatan awal mendapati semua GRO itu mampu memperoleh tips serendah RM50 dengan hanya menemani seorang pelanggan di premis berkenaan.
“Kesemua GRO warga Vietnam itu juga didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan melanggar syarat pas lawatan sosial,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, bagaimanapun hasil siasatan mendapati tiada sebarang perkhidmatan seks ditawarkan kepada pelanggan.
Justeru itu, Mohd. Khaizam menjelaskan kesemua GRO termasuk tiga penjaga premis yang berusia 20 hingga 40-an telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Turut dirampas dalam serbuan selama dua jam itu adalah peralatan seperti monitor, pembesar suara, amplifier, mikrofon dan sejumlah wang tunai.
“Semua individu yang ditahan dan barang rampasan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 39 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1963 selain Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995,” katanya. – K! ONLINE











