HULU LANGAT 14 Feb. – Gabungan Prihatin Semenyih (GPS) membuat laporan polis bagi menggesa pihak berwajib segera menangani isu pencemaran bahan kimia yang dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab di kawasan Sungai Lalang, Semenyih di sini.
Pengerusinya, Azman Ahmad berkata, pembuangan bahan secara haram berdekatan kawasan perindustrian itu dikhuatiri memberi kesan buruk sekiranya mengalir ke dalam Sungai Semenyih sehingga mengakibatkan pencemaran air dan penutupan loji.
Katanya, kandungan bahan kimia jenis ‘Ethylene Chloride’ yang disimpan di dalam sejumlah tong besar dan diletakkan secara tersusun di atas ‘pallet’ itu turut didakwa mengundang bahaya bukan sahaja kepada manusia bahkan alam sekitar, air dan udara.
“Kami menggesa supaya polis, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor dan Pejabat Tanah dan Galian serta agensi-agensi berkaitan turun padang dan mengambil tindakan berdasarkan bukti ditempat kejadian.
“Kami juga berhadap supaya pelaku dihadapkan ke mahkamah memandangkan perbuatan tersebut merupakan kesalahan serius yang boleh mengancam nyawa dan memudaratkan alam sekitar,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Semenyih, di sini semalam.
Mengulas mengenai pembuangan bahan kimia itu, Azman berkata, ia dipercayai dibuang pada 11 Februari lalu setelah dikesan oleh penduduk sekitar selepas terhidu bau kurang menyenangkan.
“Penduduk dapat menghidu bau kesan daripada pembuangan bahan kimia itu dalam radius jarak kira-kira satu kilometer. Sehingga kini, bau tersebut masih lagi dapat dihidu.
“Difahamkan, terdapat 170 tong yang mengandungi bahan kimia tersebut dan dianggarkan lebih 10 tong mengalami kebocoran,” katanya.
Menurut Azman, aktiviti pembuangan bahan kimia berbahaya di kawasan lapang itu dibuat tanpa mengikut prosedur yang betul untuk mengurangkan kos.
“Kami mahu supaya agensi terlibat bukan sahaja segera melakukan kerja-kerja pembersihan sebaliknya menyiasat siapa dalang di sebalik perbuatan ini.
“Dalam isu ini, soal keselamatan penduduk di Semenyih perlu diutamakan,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu mendapati, kerja-kerja pembersihan serta siasatan oleh agensi-agensi terbabit termasuk pasukan bomba dan Jabatan Alam Sekitar sedang giat dijalankan. – UTUSAN ONLINE











