KUALA LUMPUR 14 Feb. – Usaha para pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk ‘menyedarkan’ menteri mereka, Datuk Salahuddin Ayub tentang kesukaran hidup golongan petani dan nelayan di negara ini nampaknya berhasil.
Dalam Majlis Pelancaran Hala Tuju kementerian itu di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini hari ini, Salahuddin menangis teresak-esak ketika membacakan surat daripada seorang pesawah Ibas Hamud, 77, di atas pentas.
Penyerahan surat itu adalah antara gimik yang diatur untuk majlis tersebut.
Dengan iringan bunyi seruling yang meruntun hati, Salahuddin mula menangis setelah membaca beberapa baris pertama surat tersebut yang antara lain menegur kementeriannya yang dianggap melupakan kebajikan para petani, pesawah, peneroka dan nelayan di negara ini.
Salahuddin yang teresak-esak menangis selepas tamat membaca surat tersebut akhirnya bertenang dan menjelaskan pendiriannya dalam isu kebajikan petani.
“Selagi nyawa dikandung badan dan saya diberikan amanah menerajui kementerian ini, saya akan membela nasib warga petani dan nelayan,” tegasnya.











