KUALA LUMPUR 14 Feb. – Gerakan hari ini membuat keputusan sebulat suara tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Presiden Gerakan, Datuk Domonic Lau dalam satu kenyataan berkata, keputusan dibuat selepas membuat perundingan dan perbincangan dengan Gerakan Selangor dan anggota tempatan dari Bahagian Hulu Langat.
Malah katanya, keputusan dibuat selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan termasuk peluang kemenangan kepada parti itu serta faktor lain seperti komposisi kaum, sentimen, pihak lawan, rekod prestasi, isu semasa dan persediaan peringkat dalaman.
“Kita menghargai segala maklum balas daripada kepemimpinan negeri, anggota peringkat akar umbi serta ahli masyarakat setempat. Kami menerima pandangan majoriti.
“Kami bersetuju bahawa keputusan ini adalah demi kepentingan parti. Namun apa yang diharapkan, kepentingan dan kebajikan rakyat Semenyih akan terus menjadi fokus utama sepanjang kempen pilihan raya oleh semua pihak,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










