SUNGAI PETANI 14 Feb. – Semua kakitangan kerajaan terutamanya di negeri ini, Perak, Perlis dan Pulau Pinang disaran memahami dan menyokong setiap akta baharu yang akan diperkenalkan bagi menangani isu gangguan seksual di tempat kerja masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, perkara berkenaan perlu diberi perhatian serius bagi mewujudkan persekitaran yang sihat dan selamat.
“Kerajaan kini dalam usaha menambah baik akta gangguan seksual termasuk menghukum pihak yang cuba menyembunyikan laporan aduan salah laku kerana kita tidak akan menutup sebarang kes.
“Malah, kita tidak mahu apabila akta baharu diperkenalkan ia hanya menjadi akta yang berjaya diluluskan sahaja tetapi tidak praktikal dan berkesan untuk orang ramai,” katanya semasa merasmikan Seminar Kaedah Menghadapi Gangguan Seksual di Tempat Kerja 2019 di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Utara, di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kanan Intan Bukit Kiara, Dr. Mohd. Bakhari Ismail dan Pengarah Intan Wilayah Utara, Aizal Mazlan.
Tambah Hannah, biarpun kebanyakkan kes melibatkan kaum wanita, golongan lelaki juga tidak terkecuali menjadi sasaran sehingga menyebabkan mereka mengalami trauma yang berpanjangan.
“Saya tahu ada yang malu membuat laporan terutama sekali mangsa wanita kerana ada yang sering kali menyalahkan mereka. Jadi, saya sarankan mereka yang berdepan dengan risiko gangguan seksual di tempat kerja agar segera menghubungi talian Kasih 15999,” katanya.
Seramai 300 kakitangan awam dari empat negeri menyertai seminar tersebut yang dikendalikan beberapa penceramah bagi membincangkan cara-cara mengendalikan kes gangguan seksual dan inovasi menangani gangguan itu di tempat kerja. – UTUSAN ONLINE










