KLANG – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan enam buah koperasi sekolah di Selangor berpontesi mencapai perolehan pendapatan melebihi RM1 juta pada tahun ini.
Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat semalam, sasaran tersebut yakin dicapai memandangkan keenam-enam koperasi sekolah berkenaan telah mencapai perolehan melebihi RM500,000 setahun.
“Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari Berhad memperolehi pendapatan RM802,418, Koperasi SMK Seri Puteri Berhad (RM701,358) dan Koperasi SMK Bandar Baru Sungai Long (RM698,479).
“Tiga lagi koperasi iaitu Koperasi SMK Taman Jasmin 2 Berhad memperoleh pendapatan (RM650,794), Koperasi SMK Jalan Tiga Berhad (RM515,617) dan Koperasi Sekolah Sultan Alam Shah Berhad (RM515,490),”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui hari ini selepas merasmikan Dialog bersama Pengetua Sekolah Selangor (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) Koperasi Sekolah 2019.
Turut hadir, Naib Presiden Angkasa, Mohamad Azmi Omaruddin, Pengerusi Angkasa Selangor, Datuk Mohd. Alias Hamzah dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin.
Abdul Fattah berkata, secara keseluruhan, jumlah koperasi sekolah yang terdapat di negeri ini adalah kira-kira 276 buah dengan keanggotaan seramai 268,204 orang.
“Jumlah aset bagi kesemua koperasi sekolah di negeri ini adalah berjumlah RM42.85 juta dan menyumbang perolehan pendapatan sebanyak RM41.68 juta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sasaran pihaknya bagi tahun 2020 adalah sekurang-kurangnya 50 koperasi sekolah boleh menjana pendapatan melebihi RM1 juta.
Ujarnya, setakat semalam enam daripada keseluruhan 2,406 koperasi sekolah di seluruh negara telah mencapai perolehan berkenaan.
“Saya menasihatkan semua koperasi sekolah mempelbagaikan jenis perniagaan mereka dan tidak tertumpu kepada membekalkan barangan peralatan sekolah sahaja.
“Ada sesetengah koperasi sekolah yang kini menceburi bidang peruncitan dengan membekalkan barangan keperluan asas harian dan mereka juga boleh mengendalikan sendiri kantin sekolah selepas ini,” katanya. – K! ONLINE











