KUALA LUMPUR – Seramai empat anggota pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadualkan akan bersara wajib seawal bulan Mac depan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim ketika mengesahkan perkara berkenaan menjelaskan persaraan tersebut merupakan satu prosedur biasa bagi penjawat awam setelah mencecah umur-umur tertentu.
“Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. akan bersara pada pertengahan Mac depan diikuti oleh saya sendiri dua hari kemudian.
“Pada bulan April pula Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Mohmad Salleh akan meninggalkan PDRM disusuli dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada bulan Mei,” katanya pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kolukium Kaunselor PDRM 2019 di Maktab PDRM di sini.
Menurut Noor Rashid, persaraan tersebut adalah perkara biasa bagi penjawat awam yang berkhidmat untuk masyarakat dan bukanlah perletakan jawatan beramai-ramai seperti mana khabar angin yang tersebar sebelum ini.
“Apabila masa kita sudah sampai, maka kita perlu pergi dan beri peluang kepada pegawai yang lebih muda,”katanya.
Terdahulu, terdapat khabar angin yang mendakwa seramai empat pegawai tertinggi PDRM akan meletak jawatan secara serentak tanpa diketahui sebabnya.
Khabar angin berkenaan muncul susulan lawatan kerja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki bagi mempelajari kaedah membanteras kegiatan judi dalam talian bersama sepasukan pegawai kanan PDRM. – K! ONLINE










